Pelajaran dari Gaza….

Persinggahan ke Cairo

Sebaik sahaja keluar dari wilayah Gaza yang dikepung, saya diberikan pilihan untuk menginap di beberapa buah hotel di Cairo sebelum berangkat pulang ke Malaysia.

Saya mengambil keputusan untuk tidak bermalam di mana-mana hotel tersebut tetapi memilih untuk bermalam bersama beberapa kenalan di kalangan mahasiswa Malaysia yang sedang menuntut di Universiti al Azhar, Cairo.

Saya rasa amat bertuah dan gembira setiap kali diberikan peluang untuk bertemu, bergaul dan berkongsi pengalaman dengan anak-anak muda seumpama mereka.

Di antara rahsia kenapa Gaza masih mampu bertahan malahan yakin untuk menang ketika berhadapan dengan Israel dan kuasa-kuasa besar yang bersekutu dengannya adalah kerana Gaza memiliki generasi muda dan masyarakat yang telah terdidik di dalam sebuah universiti tarbiah yang praktikal.

Irulah keistimewaan sebenar Gaza….!

Harapan dan penentu masa depan sesebuah negara dan tamadun yang sedang bangkit sangat bergantung kepada generasi muda dan masyarakatnya yang sanggup mendokong misi dan visi perjuangan mereka miski pun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesusahan dan keperitan.

Mereka adalah golongan penentu kepada sesuatu kejayaan sehingga Saidina Ali r.a berani mengeluarkan kenyataan “Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pada pemuda-pemudinya masa kini”

Semoga kita semua turut menyumbang dan melibatkan diri di dalam usaha pembinaan generasi muda yang berpegang teguh kepada agamaNya kerana mereka adalah pendokong gagasan kebenaran dan mereka adalah pemimpin di masa depan.

Foto kenangan bersama mahasiswa Malaysia di Bait al Qassam, Madinah Nasr, Cairo sekembalian daripada misi ke Gaza.

Zainur Rashid Zainuddin

MK-8 AP ke Gaza.
19hb April 2012