KES SIS FORUM: SATU ULASAN

Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

Pada 17 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor menyiarkan fatwa berikut dalam Warta: “FATWA PEMIKIRAN LIBERALISME DAN PLURALISME AGAMA

1. SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
2. Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
4. Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.”

Berikutnya, Sis Forum (Malaysia) dan dua lagi (Pempetisyen) telah membuat
permohonan untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman
(judicial review) di Mahkamah Tinggi memohon, antara lain, perintah-perintah pengisytiharan (declaration) berikut:

I. setakat Fatwa secara tersirat memperuntukkan kesalahan berhubung dengan akhbar, penerbitan, penerbit, percetakan dan mesin cetak, ia bertentangan dengan seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;
II. setakat ia mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (‘SKMM)untuk menyekat laman web sosial, adalah bertentangan dengan seksyen 3(3) Akta SKMM 1998;
III. pengisytiharan bahawa Fatwa itu adalah melebihi Perkara 10, 11, 74 dan Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan;
IV. pengisytiharan bahawa pempetisyen adalah syarikat berhad melalui jaminan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau mana-mana pihak lain yang tidak boleh menganut agama Islam, tidak boleh tertakluk kepada Fatwa tersebut.i (Terjemahan saya).

Kebenaran diperolehi oleh Pempetisyen dan Responden merayu ke Mahkamah Rayuan.

Pada 21 05 2015, Kerajaan Negeri Selangor mewartakan pindaan kepada Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, menambah seksyen 66A berikut:

“Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah Enakmen ini.”ii

Rayuan itu sampai ke Mahkamah Persekutuan. Di Mahkamah Persekutuan, pada 25 09 2018, kedua-dua belah pihak telah merakamkan penghakiman persetujuan bahawa isuisu yang akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi adalah seperti berikut:

(i) sama ada Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar
permohonan semakan kehakiman ini yang berkaitan dengan cabaran terhadap fatwa.

(ii) sama ada responden ke-3 mempunyai locus standi untuk memulakan permohonan semakan kehakiman ini terhadap responden.

(iii) adakah fatwa tersebut melanggar undang-undang persekutuan iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

(iv) sama ada fatwa tersebut melanggar Perlembagaan Persekutuan.

(v) adakah fatwa tersebut mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri
Selangor) 2003.

(vi) sama ada fatwa itu terpakai kepada responden pertama sebagai sebuah syarikat.iii (Terjemahan saya).

Maka kes itu pun turun semula ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan oleh Hakim Nordin Hassan atas isu-isu itu. Beliau mengeluarkan penghakimannya pada 27 08 2019.

Mengenai soalan (i) beliau memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu. Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa ialah Mahkamah Tinggi Syariah.
Walaupun Hakim tersebut berkata keputusannya mengenai soalan (i) itu sahaja sudah cukup baginya menolak permohonan itu, beliau menjawab juga soalan-soalan lain yang dikemukakan oleh Mahkamah Persekutuan kepadanya.
Ringkasnya, mengenai soalan (ii) beliau memutuskan “… pemohon ketiga mempunyai kepentingan yang mencukupi dalam kesahihan fatwa yang disangkal dan oleh itu mempunyai locus standi untuk menjadi pihak dalam permohonan semakan kehakiman ini.iv (Terjemahan saya).

Mengenai soalan (iii), beliau memutuskan bahawa fatwa tersebut tidak melanggar undang-undang persekutuan iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Mengenai soalan (iv), beliau memutuskan bahawa fatwa tersebut tidak menyalahi manamana peruntukan Perlembagaan.

Mengenai soalan (v), beliau memutuskan bahawa fatwa tersebut mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mengenai soalan (vi), beliau memutuskan bahawa fatwa itu terpakai kepada responden pertama sebagai sebuah syarikat.

Pada 12 09 2019, saya telah menerbitkan satu rencana bertajuk “Adakah Fatwa Mengikat Syarikat”. Saya tidak ingat sama ada saya menulis rencana itu setelah saya membaca penghakiman itu atau tidak. Saya fikir tidak, sebab dalam rencana itu saya sedikit pun tidak merujuk kepada penghakiman itu atau mengulasnya.

Dalam rencana itu, merujuk kepada perenggan pertama fatwa itu, antara lain, saya berkata:
“Dengan mengatakan bahawa “SIS Forum (Malaysia)… yang berpegang kepada
fahaman liberalisme dan pluralisme agama, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”, Jawatankuasa Fatwa itu telah membuat keputusan fakta bahawa SIS Forum (Malaysia) berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

Selepas itu, ia memutuskan bahawa SIS Forum (Malaysia) adalah sesat dan
menyeleweng daripada ajaran Islam, tanpa memberinya hak untuk didengar,
bertentangan dengan prinsip natural justice.

Membuat keputusan seperti itu adalah fungsi mahkamah, selepas perbicaraan. Atas sebab penafian natural justice sahaja, setakat fatwa itu menyatakan bahawa SIS Forum (Malaysia) … yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama, adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, fatwa itu tidak sah.

Kedua, fatwa itu menganggap SIS Forum (Malaysia), pertubuhan dan institusi sebagai orang (manusia) yang menganut agama Islam dan yang boleh berpegang dengan pemikiran liberalisme dan pluralism agama.

Itu satu lagi kecacatan fatwa itu. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, fatwa hanya dimaksudkan untuk manusia (individu, orang) yang menganut agama Islam, bukan entiti undang-undang atau robot.

SIS Forum (Malaysia) adalah sebuah syarikat yang dihadkan oleh jaminan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965. Ia mempunyai entiti undang-undang yang berasingan daripada penjamin/pemegang saham. Ia bukan seorang Islam atau bukan Islam kerana ia tidak boleh beriman dengan Islam atau agama apa pun, malah, dengan pemikiran liberalisme dan pluralism agama. Oleh itu, fatwa tidak mengikatnya. Yang terikat dengan fatwa adalah orang (manusia) yang menganut agama Islam, termasuklah pegawai dan ahli SIS Forum (Malaysia).”
……

Merujuk kepada Perenggan 2 fatwa, walaupun berkenaan orang-orang Islam,
Jawatankuasa Fatwa tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah untuk
melucuthakkan dan memusnahkan mana-mana dokumen atau bahan lain yang
mengandungi pendapat yang ditegah itu. Subseksyen (2) seksyen 13 Enakmen No. 9 tahun 1995 dengan jelas menyatakan bahawa yang mempunyai kuasa untuk membuat perintah berkenaan ialah mahkamah. Bidangkuasa Jawatankuasa Fatwa hanyalah “penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak”.
Mengenai Perenggan 3, saya tidak fikir Jawatankuasa Fatwa mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah sedemikian terhadap agensi persekutuan, selain daripada ia bukan seorang Islam atau bukan Islam.

Mengenai Perenggan 4, saya tiada komen.
Sila ambil perhatian bahawa saya tidak mengatakan bahawa fatwa itu salah menurut hukum syarak. Sebaliknya, saya hanya menunjukkan bahawa fatwa itu, seperti yang dibuat itu, telah melebihi kuasa yang diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa oleh Perlembagaan dan undang-undang.”

Pada 21 Januari 2020, SIS Forum memfailkan notis usul, antara lain, memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, tidak sah. Mereka memfailkan petisyen ini setelah mendapat kebenaran daripada seorang Hakim Mahkamah Persekutuan di bawah fasal (3) dan (4) Perkara 4 dan fasal (1) Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.

Rayuan terhadap penghakiman itu masih berada di Mahkamah Rayuan dan ia
ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai
keesahan seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, terlebih dahulu.

Melalui petisyen ini, pempetisyen memohon pengisytiharan berikut:
“Pengisytiharan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah atas alasan ia membuat peruntukan berkenaan dengan perkara yang Badan Perundangan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat, dan oleh itu, peruntukan tersebut adalah tidak berperlembagaan, batal dan tidak sah.”v (Terjemahan saya).

Maka Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sembilan orang hakim, termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar (Malaya) dan Hakim Besar (Sabah dan Sarawak) itu hanya mendengar dan memberi penghakiman atas isu itu sahaja.

Penghakiman itu menjelaskan:
“Petisyen ini hanya melibatkan persoalan sama ada Dewan Undangan Negeri Selangor (‘SSLA’) diberi kuasa untuk menggubal seksyen 66A ARIE 2003 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 – ditambah). Oleh itu, saya tidak membuat sebarang ulasan atau keputusan mengenai kesahihan substantif atau prosedur Fatwa.”vi (Terjemahan saya).

Mahkamah itu memutuskan “bahawa seksyen 66A ARIE 2003 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 – ditambah) adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah, kerana ia adalah peruntukan yang SSLA (Dewan Undangan Negeri Selangor – ditambah) tidak mempunyai kuasa untuk membuat.”vii (Terjemahan saya).

Kesan penghakiman itu adalah Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu. Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya ialah Mahkamah Tinggi (Sivil).
Beberapa kenyataan yang dibuat oleh mahkamah itu dalam memberi penghakimannya perlu diperturunkan dan dijelaskan.

[32] Sehubungan dengan itu, penggunaan perkataan ‘semakan kehakiman’ sahaja dan dengan cara yang membolehkan Mahkamah Syariah melaksanakan kuasa tersebut adalah dengan sendirinya menyerahkan kuasa kepada Mahkamah itu yang sentiasa unik dan eksklusif kepada Mahkamah Sivil. Perkataan ‘perlembagaan, organisasi dan prosedur Mahkamah Syariah’ mesti dihayati dalam konteksnya. Seperti yang dihujahkan oleh pempetisyen dengan betul, untuk membentuk dan mengatur hanyalah bermaksud untuk mewujudkan atau menubuhkan Mahkamah Syariah dalam peringkat yang berbeza.

Perkataan ‘perlembagaan, organisasi dan tatacara Mahkamah Syariah’ tidak boleh dipanjangkan untuk memberikan kuasa sedemikian kepada Mahkamah Syariah…” viii (Terjemahan saya).

Perenggan ini menjelaskan bahawa penggunaan perkataan judicial review (semakan
kehakiman) dalam seksyen 66A itu sendiri bertujuan memberi kepada Mahkamah
Syariah kuasa yang sentiasa unik dan eksklusif kepada Mahkamah Sivil. Kuasa itu tidak boleh termasuk dalam kata-kata hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga dalan Senarai Negeri.

“[37] Mahkamah ini dalam keputusan baru-baru ini, menjelaskan skop semakan
kehakiman apabila ia melibatkan perkara yang berkaitan dengan agama. Jika sesuatu perkara berkenaan dengan kuasa undang-undang awam khususnya, persoalan tentang kewajipan dan pematuhan atau ketidakpatuhan undang-undang bertulis adalah tertakluk kepada semakan kehakiman tidak kira intipati perkara asal. Perlu dijelaskan bahawa undang-undang bertulis di sini merangkumi kedua-dua undang-undang persekutuan dan Negeri.” ix (Terjemahan saya).

Perenggan ini mengulangi penjelasan yang telah diberi mengenai skop semakan penghakiman apabila ia melibatkan agama (Islam). Jika perkara itu mengenai kuasa undang-undang awam, terutama sekali soalan mengenai tanggungjawab dan pematuhan atau ketidakpatuhan undang-undang bertulis, adalah tertakluk kepada semakan kehakiman oleh Mahkamah Sivil tidak kira perkaranya (subject matter). Kata-kata undang-undang bertulis semestinya termasuk undang-undang persekutuan dan Negeri.

“[38] Dari segi perkara, seksyen 66A ARIE 2003 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 – ditambah) adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah, kerana ia adalah peruntukan yang SSLA (Dewan Undangan Negeri Selangor- ditambah) (sebagaimana yang dinyatakan, memberikan kuasa yang lebih luas daripada apa yang boleh dirangkumi secara munasabah dalam perkataan ‘undang-undang Islam dan undang-undang peribadi dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam’ dalam butiran 1 daripada Senarai Negeri. Seksyen 66A dalam bentuknya sekarang, tidak berkaitan dengan perkara doktrin semata-mata atau yang berkaitan dengan agama Islam. Pada hakikatnya, ia berkaitan dengan kuasa undang-undang awam Majlis.” X (Terjemahan saya).

Perenggan ini menjelaskan bahawa berdasarkan ujian mengikut perkara (subject matter test), seksyen 66A memberi kuasa yang lebih luas daripada apa yang dibenarkan oleh butiran 1 Senarai Negeri iaitu yang berkaitan dengan perkara doktrin dan agama Islam. Sebaliknya, ia berkaitan dengan kuasa undang-undang awam Majlis Agama Islam.

“[40] Berkenaan dengan prosedur, ia semestinya memerlukan pematuhan undangundang bertulis dan kegagalan untuk berbuat demikian mungkin mengakibatkan pengeluaran remedi undang-undang awam yang hanya boleh dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil. Kandungan fatwa dan tafsirannya adalah cerita yang berbeza dan perkara yang semata-mata untuk bidang kuasa Mahkamah Syariah setakat yang berkaitan dengan ‘hukum syarak’ atau undang-undang peribadi dan bukan perkara yang secara objektif boleh diambil untuk bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis. (statut persekutuan atau Negeri atau malah Perlembagaan Persekutuan sekalipun.)” xi (Terjemahan saya).

Perenggan ini menekankan, mengenai prosedur (membuat fatwa), kegagalan mematuhi undang-undang bertulis (Persekutuan atau Negeri) mungkin mengakibatkan pengeluaran remedi undang-undang awam yang hanya boleh dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil. Tetapi, kandungan fatwa dan tafsirannya setakat yang berkaitan dengan ‘hukum syarak’ atau undang-undang peribadi terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah sepenuhnya. Di situ letaknya garis yang menentukan isu yang mana terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dan yang mana terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Kedudukan ini serupalah dengan pembahagian pusaka. Kuasa untuk mengeluarkan
Suratkuasa Mentadbir (Letters of Administration) terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana Ia bukanlah hukum syarak tetapi prosedur yang ditetapkan oleh undangundang.

Sebaliknya, penentuan waris dan bahagian masing-masing adalah isu hukum
syarak, oleh itu ia dilelakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“[41] Oleh itu, secara mudahnya, jika mana-mana fatwa atau apa yang dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa dicabar semata-mata atas dasar pematuhan perlembagaan atau undang-undang, maka ia adalah urusan Mahkamah Sivil. Sekiranya persoalannya berkaitan dengan perkara akidah atau kesahihan kandungan fatwa yang diuji bertentangan dengan hukum syarak, maka forum yang sesuai untuk semakan adalah Mahkamah Syariah.” xii (Terjemahan saya).

Perenggan ini amat jelas mengenai pembahagian bidang kuasa di antara Makhamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Tetapi, untuk membolehkan Mahkamah Syariah mendengar permohonan seperti itu, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 perlulah dipinda dan seksyen 66A baharu dimasukkan khusus untuk membolehkan cabaran dibuat mengenai perkara akidah atau kesahihan kandungan fatwa yang diuji bertentangan dengan hukum syarak.
“[45] Tidak jelas dalam rekod bahawa seksyen 66A bertujuan untuk meliputi perkara undang-undang Islam sahaja dan bukan perkara dalam bidang undang-undang awam dan/atau kuasa undang-undang awam. Apabila peruntukan itu dilemparkan secara umum dan tanpa had, adalah tidak dibenarkan bagi Mahkamah sama ada untuk membaiki atau membuat semula statut tersebut. Satu-satunya tugasnya adalah untuk membatalkannya dan menyerahkannya kepada SSLA (Dewan Undangan Negeri Selangor), jika ia mahu, untuk menggubalnya semula selaras dengan perkara 1 Senarai Negeri…” xiii (Terjemahan saya).

Perlu ditekankan bahawa Mahkamah membuat keputusan mengenai soalan yang
dikemukakan kepadanya iaitu sama ada seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama
Islam (Negeri Selangor) 2003 berperlembagaan dan sah, atau tidak. Sambil memutuskan bahawa seksyen itu tidak sah dan batal ia tidak mengatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh diberi kuasa melakukan semakan kehakiman langsung.

Kuasa itu boleh diberi tetapi setakat mengenai persoalan berkaitan dengan perkara akidah atau kesahihan kandungan fatwa sama ada ia bertentangan dengan hukum syarak, atau tidak. Bagi saya, itu adalah satu keputusan yang betul.
Perlu diingati semula bahawa semakan kehakiman adalah remedi undang-undang awam yang berkembang (evolved) di mahkamah sivil (common law courts) dalam tempoh beratus tahun. Tidak mengapa jika ia hendak diambil pakai di Mahkamah Syariah asalkan ia tidak bercanggah dengan Hukum Syarak dan peruntukan Perlembagaan seperti mana peruntukan-peruntukan Kanun Acara Jenayah dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1950 dijadikan Enakmen Aturcara Jenayah Syariah dan Enakmen Aturcara Mal Syariah.

Tetapi, menjadikannya undang-undang Negeri atas nama memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghalang prosiding yang sedang berlangsung di Mahkamah Sivil, seperti yang dilakukan dalam kes ini, apatah lagi apabila ia bercanggah dengan peruntukuan Perlembagaan adalah tidak betul.

Biar apa pun, rayuan yang masih berada di Mahkamah Rayuan itu eloklah didengar dan diputuskan. Secara peribadi, saya ingin melihat sama ada penghakiman Mahkamah Persekutuan itu serupa dengan pandangan saya dalam rencana saya yang lebih awal itu atau tidak dan, jika ya, setakat mana.

28 02 2022

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

i (i) to the extent the Fatwa implicitly provides for offences in relation to newspaper, publications, publishers, printing and printing presses, it is contrary to section 7 of the Printing Presses and Publications Act 1984;
(ii) to the extent it directs Malaysian Communication and Multimedia Commission (‘MCMC’) to block social website, is contrary to section 3(3) of the MCMC Act 1998; dan
(iii) a declaration that the Fatwa is in excess of Articles 10, 11, 74 and List 1 and BKA-1-01/2021(W) 3 List 2 of the Ninth Schedule of the Federal Constitution; and
(iv) a declaration that the petitioner being a company limited by guarantee incorporated under the
Companies Act 1965 or any other party not able to profess the religion of Islam, cannot be subjected to the said Fatwa. ii The Syariah High Court, may, in the interest of justice, on the application of any person, have the jurisdiction to grant permission and hear the application for judicial review on the decision made by the Majlis or committees carrying out the functions under this Enactment.”
iii (i) whether the Civil High Court has jurisdiction to hear this judicial review application which relates to a challenge against a fatwa.
(ii) whether the 3 rd respondent has the locus standi to commence this judicial review application against the respondents.whether the fatwa violates the federal law which are the PPPA 1984 and
the MCMC Act 1998.
(iii) whether the fatwa infringed the Federal Constitution.
(iv) whether the fatwa is in compliance with the Administration of Religion of Islam (State of Selangor) Enactment 2003.
(v) whether the fatwa is applicable to the 1st respondent as a company.

iv “… the third applicant has sufficient interest in the legality of the impugned fatwa and as such has the locus standi to be a party in this judicial review application.)
v “A Declaration that Section 66A of the Administration of the Religion of Islam (State of Selangor)
Enactment 2003 is invalid on the ground that it makes provision with respect to a matter with respect to which the Legislature of the State of Selangor has no power to make, and as such, that said provision is unconstitutional, null and void.”
vi This petition concerns only the question of whether the Selangor State Legislative Assembly (‘SSLA’) was empowered to enact section 66A of the ARIE 2003. I therefore make no comment or ruling on the substantive or procedural validity of the Fatwa.
vii …that section 66A of the ARIE 2003 is unconstitutional and void, as it is a provision which the SSLA has no power to make
viii [32] With respect, the use of the words ‘judicial review’ alone and in a manner which enables the Syariah Courts to exercise such powers is itself to assign unto such Courts powers which have always been unique and exclusive to the Civil Courts. The words ‘constitution, organization and procedure of Syariah courts’ must be appreciated in context. As correctly submitted by the petitioner, to constitute and organize merely means to create or establish the Syariah Courts in its different tiers. The words ‘constitution, organization and procedure of Syariah Courts’ cannot be stretched to confer such powers on the Syariah Courts…
ix [37] This Court has in recent decisions, clarified the scope of judicial review when it concerns matters pertaining to religion. Where a matter concerns public law powers specifically, questions of obligations and compliance or non-compliance with written law are subject to judicial review no matter the essence of the original subject matter. It should be evident that written law here includes both federal and State laws.
x [38] In terms of subject matter, section 66A of the ARIE 2003 as it stands, confers powers wider than what can reasonably be encompassed within the words ‘Islamic law and personal and family law of persons professing the religion of Islam’ in item 1 of the State List. Section 66A in its present form, does not relate to purely doctrinal matters or those relating to the religion of Islam. On the face of it, it relates to the public law powers of the Majlis.
xi [40] As regards the procedure, it necessarily requires compliance with written law and the failure to do so might result in the issuance of public law remedies that can only be issued by the Civil Superior Courts. The contents of the fatwa and their interpretation are a different story and a matter purely for the jurisdiction of the Syariah Courts to the extent that it relates to ‘hukum syarak’ or personal law and not matters which objectively might be taken to contradict any written law (federal or State statutes or even the FC for that matter).
xii [41] Thus, simply put, if the vires of any fatwa or the conduct of the Fatwa Committee is challenged purely on the basis of constitutional or statutory compliance, then it is a matter for the Civil Courts. If the question pertains to the matters of the faith or the validity of the contents of the fatwa tested against the grain of Islamic law, then the appropriate forum for review is the Syariah Courts.
xiii [45] It was not apparent on record that section 66A was intended to cover matters of Islamic law only and not matters within the realm of public law and/or public law powers. When the provision is cast in general terms and without limitations, it is not permissible for the Court either to mend or remake the statute. Its only duty is to strike it down and leave it to the SSLA, if it so desires, to re-enact it consonant with item 1 of the State List.