Tokoh

Prof. Jackie Ying, Saintis Muslimah Yang Tekun Mencipta Sejarah

Nama Prof Jackie Ying kembali hangat di media antarabangsa setelah beliau dan pasukan penyelidiknya di Singapura berjaya menciptakan alat atau kit rapid test yang boleh mengesahkan sama ada seseorang itu positif coronavirus (Covid-19) dalam tempoh hanya 5 minit. Alat ujian ini diberikan nama sebagai “Cepat”.

Andainya penemuan bersejarah ini diluluskan oleh pihak berautoriti, maka ia akan menjadi alat ujian Covid-19 yang paling pantas di dunia.

Siapakah sebenarnya Profesor Jackie Ying?

Prof Jackie Ying, Saintis Muslimah Yang Melakar Sejarah

Jackie Ying lahir di Taiwan pada tahun 1966. Beliau mengikut keluarganya berpindah ke Singapura pada tahun 1973, ketika berusia 7 tahun. Bapanya bertugas sebagai Dekan Fakulti Sastera Cina di Nanyang Technological University, Singapura.

Sejak kecil, beliau mencintai ilmu pengetahuan, khususnya ilmu kimia. Ini adalah di antara keputusannya memeluk Islam.

Jackie Ying mula mengenal Islam semasa belajar di Raffles Girls School, Singapura. Namun, ketika berusia 30 tahun, Jackie Ying mulai membaca soal agama Islam secara serius dan memeluk Islam di USA. Beliau menyimpulkan bahawa Islam merupakan agama yang sederhana dan boleh diterima oleh mereka yang berfikir dan mengkaji.

Jackie Ying berhijrah bersama keluarganya ke USA ketika berusia 15 tahun. Beliau menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia The Cooper Union dan kemudiannya MSc dan PhD daripada Princeton University, USA.

Kehebatan Jackie Ying sudah terserlah dengan lebih awal sebenarnya. Pada tahun 2001, beliau telah dilantik menjadi professor termuda di Massachusetts Institute of Technology (MIT) ketika  berusia 35 tahun.

Beliau kembali ke Singapura pada 2003 dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif yang pertama di Institute of Bioengineering and Nanotechnology, Singapura.

Fokus penyelidikan dan reka cipta beliau adalah mengenai “Biomedical and catalytic applications of nanostructured systems and materials” yang telah menerima pengiktirafan oleh dunia luar sehingga beliau telah meraih banyak penghargaan antarabangsa, di antaranya :

  • 2008 – Anugerah 100 Jurutera Hebat Era Moden oleh American Institute of Chemical Engineers (USA).
  • 2014 – Singapore Women’s Hall of Fame
  • 2015 – Mustafa Prize – Top Scientific Award (Iran)
  • 2017 – Fellow of the United States National Academi of Inventors (USA)
  • 2018 – Turkish Academy of Science (TUBA) Academy Prize in Science and Engineering Sciences

Profesor Jackie Ying telah menghasilkan lebih daripada 350 artikel saintifik, 140 paten untuk namanya, dan diundang untuk memberikan lebih daripada 350 pembentangan di persidangan antarabangsa.

Prof Jackie Ying bersama pasukan penyelidiknya

Pada bulan Mac 2018, Prof Jackie Ying telah meletakkan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif , Institute of Bioengineering and Nanotechnology dan menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu NanoBio Lab.

Sejak memeluk Islam ketika berusia 30 tahun di USA, beliau adalah seorang Muslim yang berpegang teguh dengan agama dan banyak menyumbang kepada komuniti Islam di Singapura.

~ Semoga akan lahir lebih ramai lagi saintis Muslim yang berkaliber serta gigih menyumbang kepada masyarakat, negara dan dunia antarabangsa.

Rujukan :

 

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close