Kesyahidan Mus’ab Bin Umair

Sebelum memeluk Islam, Mus’ab Bin Umair ialah seorang pemuda yang dibesarkan dengan penuh kemewahan dan kemanjaan. Beliau adalah salah seorang daripada kalangan pemuda yang kaya. Ayah Mus’ab akan memakaikannya pakaian yang dibeli dengan harga sehingga dua ratus dirham. Beliau seorang yang masih muda dan dibesarkan dalam keadaan penuh kasih saying dan kemewahan.

Mus’ab telah memeluk Islam secara sembunyi tanpa pengetahuan keluarganya pada zaman permulaan Islam lagi. Ada orang menyampaikan berita tentang keIslamannya kepada keluarganya. Mereka telah mengikat dan mengurungnya. Setelah beberapa hari berlalu beliau mendapat peluang melarikan diri secara sembunyi. Beliau telah menyertai para sahabat yang berhijrah ke Habsyah. Sebaik kembali pulang dari Habsyah, beliau telah berhijrah pula ke Madinah dan telah memulakan hidup secara zuhud dan serba kekurangan.

Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang duduk, Mus’ab yang hidup dalam kesempitan telah lalu di depan Baginda SAW. Baginda hanya memakai sehelai kain yang telah koyak di beberapa bahagian. Salah satu bahagian yang koyak itu telah ditampung dengan kulit kerana ketidakcukupan kain. Dalam pada itu, Rasulullah SAW telah menceritakan keadaan beliau pada suatu masa dahulu serta keadaan beliau pada masa itu sehingga Baginda SAW digenangi air mata.

Dalam peperangan Uhud, bendera orang Muhajirin dipegang oleh beliau. Apabila orang Islam bertempiaran lari dalam kebingungan, beliau masih tetap teguh berdiri. Seorang kafir telah menghampirinya lalu memotong tangannya dengan pedang supaya bendera itu jatuh untuk menandakan kekalahan yang nyata bagi umat Islam. Beliau segera menyambar bendera itu dengan tangannya yang satu lagi. Musuh tersebut turut memotong tangannya yang sebelah lagi itu. Beliau telah merapatkan dua lengannya ke dada dan telah menahan bendera itu supaya tidak jatuh  Musuh tersebut lalu memanahnya sehingga menyebabkan beliau gugur syahid. Selagi hayat dikandung badan beliau tidak membiarkan bendera itu jatuh. Setelah kesyahidannya barulah bendera itu terjatuh tetapi terus diangkat oleh seorang sahabat yang lain.

Apabila tiba saat pengkebumian, beliau hanya mempunyai sehelai kain kecil yang tidak cukup untuk menutup keseluruhan badannya. Apabila kepalanya ditutup, kakinya akan terdedah dan apabila kakinya ditutup kepalanya pula yang akan terdedah. Rasulullah SAW bersabda, “Tutuplah kepalanya dengan kain itu dan tutuplah kakinya pula dengan daun-daun Izkhir.

Kesimpulan :

Inilah pengakhiran seorang anak muda yang telah dibesarkan dengan penuh manja dan kemewahan. Beliau pernah memakai pakaian yang berharga 200 dirham semasa mudanya tetapi pada hari pengkafanannya, beliau hanya memiliki sehelai kain yang tidak cukup untuk menutup seluruh tubuhnya. Begitu sekali kesungguhan dan pengorbanan beliau. Semasa hidup, beliau tidak membenarkan bendera panji Islam itu jatuh ke bumi.

Sesungguhnya kedua-dua belah tangannya telah dipotong, namun beliau masih tidak melepaskan bendera itu. Beliau ialah seorang yang dibesarkan dengan penuh kemewahan. Namun demikian, iman dalam hati para sahabat begitu utuh sehingga menyebabkan mereka meninggalkan segala-galanya. Wang ringgit, kerehatan dan kesemuanya ditolak untuk menyempurnakan tuntutan iman dan perjuangan Islam.

Sumber :

Kisah Para Sahabat – Maulana Zakariya al-Kandahlawi, Maktabah Ilmiah.

Juga baca :

Mus’ab Bin Umayr – The First Envoy of Islam – https://islamtomorrow.com/articles/Musab_bin_Umair_envoy.htm

Kredit Foto :

https://www.quora.com/What-are-the-reasons-that-force-Muhammad-to-migrate-from-Mecca-to-Medina