Tazkirah

Budayakan berbincang

Pembudayaan istisyarah dan isti’zan dalam organisasi

Di antara adab seorang anak atau anak-anak dengan ibu bapa mereka, seorang isteri dengan suami dan sebaliknya, murid dengan gurunya, staf dengan bosnya, pekerja dengan institusinya dan anggota dengan organisasinya adalah dengan membiasakan amalan memberitahu atau berbincang atau meminta izin terlebih dahulu.

Di sana mungkin wujud perbezaan samada seseorang itu hanya perlu beritahu atau perlu berbincang (dan buat keputusan sendiri) atau perlu meminta izin terlebih dahulu. Ia mungkin berbeza di antara satu individu dengan satu individu yang lain, mungkin berbeza di antara seorang ketua dengan ketua yang lain dan mungkin juga berbeza di antara budaya satu organisasi dengan organisasi yang lain,

Yang pasti, semua keluarga, institusi dan organisasi mengkehendaki agar adab atau prosedur ini dihormati dan dibudayakan. Kalau semua orang buat keputusan ikut perasaan sendiri, ikut pandangan sendiri atau ikut kepala sendiri maka akan bercelarulah suasana dan hancurlah sistem sesebuah keluarga, institusi atau organisasi.

Hebat manapun seorang anak apabila berhadapan dengan orang tuanya yang kurang terpelajar, dia masih perlu beradab dengan memberitahu orang tuanya tentang perkembangannya, atau berbincang pilihan yang dimilikinya atau meminta izin dalam urusan yang memerlukan keizinannya.

Begitu juga di antara seorang isteri dengan suaminya, pekerja kepada ketua institusinya dan anggota dalam organisasinya.

Apakah ruginya kita memberitahu apabila perlu kerana dengan memberitahu sesuatu keputusan atau perkembangan akan membantu kita kepada perjalanan yang lebih baik?

Apakah ruginya kita berbincang kerana perbincangan dengan mereka yang lebih berpengalaman atau lebih berusia akan membuka kepada kita baik buruk satu pilihan untuk tempoh yang panjang?

Apa ruginya kita minta izin kepada mereka yang mempunyai autoriti kepada kita supaya sistem keluarga, sesebuah institusi atau sistem sesebuah organisasi akan berjalan lancar dan sejahtera ?

Leceh ? Tak bebas ? Kenapa pulak, ini hak akulah !

Andai setiap empunya diri ‘kaki redah’ dan ‘belasah sahaja’ kerana rasa sudah lengkap dan berposisi, nak buat macam mana. Maka akan hancurlah keharmonian sistem yang dibina organisasi tersebut….

Istikharah, istisyarah dan isti’zan adalah amalan penting yang saling melengkapi dan seharusnya disuburkan dalam setiap anggota jamaah ini.

Benarlah kata-kata hikmah, “Tidak akan rugi orang yang beristikharah, tidak akan menyesal orang yang berbincang”.

Pengalaman demi pengalaman yang dilalui akan mengajar kita kenapa adab sebegini sangat penting untuk dibudayakan, di mana jua dan sehebat mana sekali pun kita menilai kemampuan diri sendiri.

Semoga setiap kita diberikan hidayah dan dianugerahi kebaikan yang berpanjangan.

Dr Zainur Rashid Zainuddin
Pengerusi Kluster Tarbiyah
Ikatan Muslimin Malaysia

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close