Santai

Van Buruk Penjual CD

Van buruk penjual CD…

Ingin saya kongsikan secebis kisah yang dilalui kira-kira 15 tahun yang lalu. Ketika itu saya bertugas sebagai Pensyarah dan Pakar Obstetrik & Ginekologi di IMU dan Hospital Seremban.

Saya telah diundang untuk membentangkan satu tajuk ceramah kemanusiaan di Seminar Perubatan Peringkat Negeri Johor di Johor Baru yang dihadiri oleh seramai 200 orang petugas perubatan terutamanya di kalangan jururawat dan doktor.

Episode 1 :

Saya memandu sebuah van ‘second hand’ berjenama Spectron yang telah berusia 10 tahun. Prinsip saya ketika itu adalah lebih elok membeli kereta ‘second hand’ bagi mengelakkan diri daripada berhutang.

Saya memandu agak laju di lebuh-raya bagi memastikan boleh sampai lebih awal untuk menjual buku-buku dan CD di sepanjang seminar tersebut sebelum sesi pembentangan saya di sebelah petang.

Entah nasib badan tidak begitu baik, saya ditahan oleh polis trafik kerana memandu melepasi had laju di satu kawasan di Johor.

Polis : Awak salah kerana memandu lebih had laju (nada marah).

Dr Z : Saya mohon maaf Tuan, saya mengaku salah kerana berkejar sampai awal ke JB.

Polis : Awak ada urusan apa di sana ? (Lembut sedikit)

Dr Z : Saya dijemput untuk beri ceramah kepada jururawat dan doktor di JB.

Polis : Betul ke? Awak kerja apa sebenarnya?

Dr Z : Saya kerja doktor biasa je, di IMU & Hospital Seremban.

Polis : Ok lah doktor. Amaran ya, kali ini saya maafkan. Van doktor ini pun dah buruk, kalau  bawa BMW laju, lainlah ceritanya.

Dr Z : Terima kasih tuan, sangat saya hargai.

Episode 2 :

Sebaik sampai ke hotel tempat dianjurkan seminar tersebut, saya terus membuat persiapan untuk menjual CD dan buku yang saya tulis dan terbitkan sendiri di sebelah pagi.

Waktu rehat tengahari adalah sesi sibuk kerana ramai peserta yang memgerumuni ‘booth’ kecil yang saya kendalikan.

Tiba-tiba kedengaran suara kuat seorang peserta seminar yang merupakan seorang jururawat, ‘Adik, adik penjual CD, mari ke sini sekejap!’.

Saya tahu bahawa panggilan tersebut memang merujuk kepada saya. Saya tidak banyak ‘songel’ dan ‘dengan muka toya’ terus menunaikan hajat wanita ini yang ingin dilayan segera (membeli CD).

Episode 3 :

Kini sampai giliran saya dipanggil oleh Pengerusi Majlis untuk membentangkan satu tajuk ceramah kemanusiaan pada sesi yanh terakhir.

Para peserta yang terdiri daripada petugas perubatan di seluruh negeri Johor ini kelihatan berpuas hati dengan pembentangan tersebut kerana ramai yang mengerumuni saya di penghujung seminar untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas pembentangan yang menarik.

Episode 4 :

Sebaik sahaja saya melangkahkan kami untuk meninggalkan dewan seminar tersebut, saya didatangi oleh seorang wanita yang diiringi oleh beberapa orang rakannya.

Dia kelihatan serba salah dengan katanya,’ Tuan Doktor, saya ingin meminta maaf kerana pagi tadi saya panggil doktor sebagai ‘penjual CD’. Petang ini baru saya tahu bahawa Tuan adalah seorang doktor pakar. Maafkan saya. Saya rasa sangat bersalah’.

‘Tidak mengapalah Puan, saya ok sahaja. Sememangnya saya menjual CD di sebelah pagi tadi kerana tiada pembantu yang dapat hadir bersama’, saya cuba menghilangkan rasa dirinya bersalah.

Alhamdulillah, saya boleh tenang memandu pulang ke Seremban setelah mencuba sesuatu yang terbaik melalui ceramah, penulisan buku, penjualan CD dan perkongsian pengalaman dalam rangka untuk mengesani umat ini.

# Saya doakan agar anak-anak saya dan generasinya boleh membiasakan diri dengan hidup sederhana, tidak bermewah-mewah, sudi buat kerja biasa-biasa dan lasak emosi.

[ t.me/zainurrashid ]
Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button