Tun M sudah boleh berundur, rakyat mahu pemimpin muslim wibawa

Ramai lagi pelapis hebat, amanah, kompeten boleh terajui negara

BANGI, 3 Zulkaedah 1441H, Khamis – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya parti tamak haloda DAP telah jauh berubah adalah petunjuk bekas Perdana Menteri itu perlu segera berundur daripada politik negara.

Dr Mahathir mendakwa parti rasis dan cauvinis itu sudah banyak berubah berbanding era ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat dan Presiden UMNO.

Dakwanya, DAP yang ‘sangat Cina’ dulu, DAP kini mampu memenangi kerusi walaupun meletakkan orang Melayu sebagai calon.

Dakwaan Ahli Parlimen Langkawi itu seolah-olah beliau hilang arah tuju, semata-mata mahu mendapat sokongan untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-9.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, ungkapan dan kata-kata Dr Mahathir menggambarkan beliau sudah semakin perlu untuk berundur daripada politik negara seberapa segera.

“Saya yakin bahawa Malaysia tidak kekurangan pemimpin pelapis yang hebat, amanah dan kompeten yang boleh meneraju negara ke mercu kejayaan di masa depan.

“Saban hari saya mendoakan agar negara Malaysia yang tercinta ini akan memiliki lebih ramai ‘Pemimpin Muslim Berwibawa’ yang akan menjadi tunjang kepada kepimpinan negara,” katanya.

PH terus berdepan konflik dalaman dengan isu perebutan kuasa Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun sudah tidak lagi menjadi kerajaan.

Ketika PH memerintah, DAP antara parti yang kuat mendesak Dr Mahathir menunaikan janji peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar.

Bagaimanapun, setelah PH tumbang, hanya 22 bulan sahaja memerintah – akibat tindakan daripada parti itu sendiri – DAP kemudiannya bertukar pendirian dan kononnya kekal menyokong Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Tun M sudah boleh berundur, rakyat mahu pemimpin muslim wibawa