RAJA BERPERLEMBAGAAN: Perkembangan Yang Merisaukan
Oleh :
Tun Abdul Hamid Mohamad
Dalam tahun 1946, apabila Raja-Raja Melayu menandatangani Perjanjian Malayan
Union, Raja-Raja Melayu hampir menyerahkan kesemua kuasa mereka kepada penjajah
British. Nasib baiklah orang Melayu sedar akan kesilapan itu dan bangun menentangnya.
Gerakan itu membawa kepada penubuhan UMNO yang menyambungnya dengan
menuntut kemerdekaan. Manakala negara-negara lain yang merdeka selepas Perang
Dunia Kedua membuang raja-raja mereka, seperti India dan Indonesia, UMNO dengan
tegas mahukan Raja-Raja Melayu terus bertakhta selepas Merdeka. Maka, termaktublah
peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengekalkan
kedudukan Raja-Raja Melayu dengan hak dan keistimewaan mereka. Di peringkat
Persekutuan diadakan seorang raja berperlembagaan yang diberi nama Yang di-Pertuan
Agong.
Sistem raja berperlembagaan itu berjalan dengan licin selama lebih kurang 40 tahun
dengan Raja dan Kerajaan hormat menghormati antara satu sama lain, masing-masing
melaksanakan tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Kerajaan berunding dengan Raja di mana ia dikehendaki berunding. Raja mengikut
nasihat Kerajaan di mana Baginda dikehendaki berbuat demikian.
Kita mula nampak adanya masalah apabila Perlembagaan dipinda dengan menubuhkan
Mahkamah Khas untuk membicarakan Raja-Raja bagi kes-kes jenayah dan mal. Jika
tiada kes berlaku atau jika tidak dikhuatiri berlaku masakan mahkamah tersebut
ditubuhkan. Orang yang paling tahu hal itu adalah Tun Dr. Mahathir kerana beliaulah
Perdana Menteri pada masa Perlembagaan dipinda untuk menubuh mahkamah itu.
Ini diikuti dengan pindaan kepada Perkara 66 dan 40.
Perkara 66 dipinda dengan menambah Klausa (4A).
“(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-
Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang
Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa
yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah
dia telah memperkenankannya.”
Tentulah ada Raja yang enggan menandatangani rang undang-undang yang telah
diluluskan oleh Parlimen yang menyebabkan pindaan itu perlu dibuat, pada hal mengikut
convention ia sepatutnya ditandatangani in due course.
Pindaan itu dibuat bersama-sama dengan pindaan kepada Perkara 40 dengan
menambah klausa (1 A):
(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang
persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas
nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah
menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”
Tidak ada perkataan yang lebih jelas dari itu: dalam perkara yang Raja dikehendaki
oleh Perlembagaan berbuat sesuatu mengikut nasihat Kerajaan, apabila
dinasihatkan berbuat sesuatu, buat.
Orang yang paling tahu mengapa pindaan-pindaaan itu perlu dibuat adah Tun Dr.
Mahathir dan DS Anwar Ibrahim. Pada masa itu, Tun Dr. Mahathir adalah Perdana
Menteri dan DS Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri yang mencadangkan pindaan
itu di Parlimen.
Pada 23 Oktober 2020, sebagai Perdana Menteri, TS Muhyiddin menyembahlan
keputusan Jemaah Menteri untuk dibuat deklarasi darurat untuk menangani pandemic
Covid-19.
Dalam hal mengisytiharkan darurat, Privy Council telah memutuskan dalam kes Teh
Cheng Poh v. Public Prosecutor (1979) 1 MLJ 50 bahawa Yang di-Pertuan Agong
hendaklah bertindak mengikut nasihat.
Tetapi, pada esoknya, pada 24 Oktober 2020, Istana Negara mengeluarkan kenyataan
media yang, antara lain, menyebut bahawa YDPA “telah berkenan untuk mengadakan
rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi
membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh
YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.”
Rundingan tersebut diadakan pada 25 Oktober 2020 dan, selepas, itu Istana Negara
mengeluarkan kenyataan media yang, antara lain, berbunyi:
“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka
Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara
Malaysia.”
Perlu diingati bahawa tindakan berunding dengan Raja-Raja Melayu itu tidak
diperuntukkan oleh Perlembagaan. Perlembagaan menghendaki Yang di-Pertuan Agong
mengikut nasihat Jemaah Menteri dalam hal itu.
Pada 15 Jun 2021, Istana Negara mengeluarkan kenyataan berikut:
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa
Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan
maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen
perlu diadakan secepat mungkin.”
Perlu diingati juga bahawa kenyataan ini dibuat di luar bidang tugas Yang di-Pertuan
Agong. Tidak pula disebut pahawa pandangan Kerajaan dan Yang Dipertua Dewan
Rakyat turut diminta.
Pada hari yang sama, Raja-Raja Melayu, melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,
juga mengeluarkan kenyataan bahawa Raja-Raja Melayu bersependapat tiada keperluan
untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.
Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad:
“Dalam semangat itu, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian
Yang di-Pertuan Agong, yang menitahkan supaya Parlimen bersidang segera.”
Sekali lagi Raja-Raja Melayu melibatkan diri dalam perkara yang terletak di luar bidang
kuasa mereka.
Sampai kepada isu pembatalan ordinan-ordinan darurat. Mengikut Perkara 150
Perlembagaan Persekutuan, ada tiga cara ordinan-ordinan yang dimasyhurkan oleh
Yang di-Pertuan Agong pada masa proklamasi darurat sedang berkuat
kuasa, akan terhenti berkuat kuasa. Satu daripadanya ialah apabila ia
dibatalkan (revoked) di bawah Fasal (3).
Pembatalan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah
Menteri.
Berdasarkan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,
nampaknya Kerajaan telah mengalah dan memutuskan untuk mengadakan
Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021
Pada 21 Julai 2021 Jemaah Menteri, dalam mesyuaratnya membuat keputusan tidak
akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat deklarasi darurat baharu
setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021.
Dalam mesyuarat itu juga, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang
di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa
deklarasi darurat itu berkuatkuasa.
Pada 24 Julai 2021 dokumen-dokumen tersebut telah disembahkan kepada Yang di-
Pertuan Agong. Setelah menelitinya, Baginda menitahkan YB Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Seri Takiyuddin Hassan (DS
Takiyuddin) dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun (Peguam Negara) untuk
menghadap Baginda secara maya.
Semasa sesi menghadap secara maya itu Baginda menitahkan, antara lain:
1. (Baginda) Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana ianya
dilakukan secara tergesa-gesa iaitu menjelang dua hari sebelum sidang Parlimen selain
akan keperluan ianya diwartakan.
2. (Baginda) Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan tersebut secara
terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada Duli-Duli Yang Maha
Mulia Raja-Raja Melayu.
3. Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan diungkaikan di
Parlimen selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Sekali lagi, kesemua ini adalah di luar Perlembagaan.
Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021 Ahli-Ahli Parlimen
pembangkang telah mendesak supaya ordinan-ordinan tersebut dibentang di hadapan
Dewan Rakyat, dibahaskan dan diungkai oleh Parlimen. Maka, DS Takiyuddin telah
memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri,
telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.
Kenyataan itu telah disambut dengan bantahan daripada pihak pembangkang.
Pada 29 Julai 2021, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan media yang
ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang, antara lain, mengatakan:
“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan
kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah
membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang
tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di
Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan
Rakyat.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua
Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesagesa
tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta
mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undangundang
yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan
kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim, Tun
Dr. Mahathir, DS Zahid Hamidi, Presiden UMNO melompat dan menyerang DS
Takiyuddin, Perdana Menteri dan Kerajaan PN. Mereka menuduh DS Takiyuddin
mengelirukan dan berbohong kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat, menuntut DS Takiyuddin,
Perdana Menteri, dan semua Ahli-Ahli Jemaah Menteri meletak jawatan. Ada yang
melaung “menghina” dan “derhaka” dalam Dewan Rakyat.
Pada hari yang sama (29 Julai 2021) Pejabat Perdana Menteri pula mengeluarkan
kenyataan media. Kenyataan itu menekankan bahawa ordinan-ordinan itu boleh
dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri tanpa perlu
diungkai oleh Parlimen dan apa yang telah dilakukan oleh Jemaah Menteri itu adalah
betul di sisi undang-undang. Kenyataan itu juga menekankan bahawa dalam hal ini Yang
di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat dan memetik Perkara 40(1) dan
40(1A) Perlembagaan.
Dari sini kita dapat lihat bahawa masalah ini timbul daripada salah faham mengenai
maksud bertindak atas nasihat. Malangnya, isu itu tenggelam dalam riuh rendah yang
berbangkit daripda kesilapan kecil DS Taliyuddin yang tertinggal lima perkataan iaitu
“untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong” yang diperbesarkan itu. Peristiwa ini
berlarutan hingga TS Muhyiddin meletak jawatan.
Apabila TS Muhyiddin meletak jawatan, maka terletaklah kepada Yang di-Pertuan Agong
untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu. Perlembagaan memperuntukkan
dengan mudah dan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik “seorang
ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti
ahli Dewan Rakyat” untuk menjadi Perdana Menteri.” – Perkara 43(2)(a).
Perlembagaan tidak menghendaki Baginda memastikan bahawa orang yang dilantik itu
semestinya mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat kerana orang yang
dilantik itu akan tertakluk kepada undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Perlembagaan juga tidak menetapkan aturcara (procedure) yang Baginda perlu ikuti
untuk membuat keputusan siapa yang hendak dilantiknya.
Apakah yang berlaku?
Pada 17 Ogos 2021, semua Ahli Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat
akuan ke Istana Negara dan menamakan calon pilihan masing-masing untuk dilantik
sebagai Perdana Menteri ke-9. Mereka diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4.00
petang esoknya (18 Ogos 2021) untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis. Surat
akuan itu hendaklah disahkan sebagai benar. Arahan berkenaan dikeluarkan oleh Yang
Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen di atas
titah Yang di-Pertuan Agong.
Keperluan Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuat surat akuan ini tidak diperuntukkan di manamana.
Jika ia merupakan satu cara untuk mendapat maklumat siapakah yang mungkin
mendapat sokongan majoriti, tidak mengapalah, tetapi janganlah ia sampai dijadikan
satu precedent yang mesti dikuti.
Selepas surat-surat akuan itu diterima dan dihitung, DS Ismail Sabri mendapat sokongan
majoriti iaitu 114 berbanding 105 yang diperoleh DS Anwar Ibrahim.
Sepatutnya pelantikan sudah boleh dibuat kerana DS Ismail Sabri telah mendapat
sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rayat. Tetapi, Ahli-Ahli Dewan Rayat yang menyokong
DS Ismail Sabri dipanggil pula untuk mengesahkan pendirian mereka. Ini telah
menimbulkan syak sama ada Yang di-Pertuan Agong cuba menghalang DS Ismail Sabri
daripada menjadi Perdana Menteri.
Tidak cukup dengan itu, ketua-ketua parti pula dipanggil. Mengikut sumber yang boleh
dipercayai, seorang demi seorang ketua-ketua parti itu ditanya sama ada mereka
bersetuju diadakan sebuah kerajaan perpaduan, anehnya, bermula dengan DS Anwar
Ibrahim.
Lebih kurang pada masa yang sama, DS Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang mengeluarkan
kenyataan bahawa sebuah kerajaan perpaduan hendaklah ditubuh yang dianggotai
semua parti. Ingat kembali, hanya beberapa hari sebelumnya, mereka menolak sekeraskerasnya
tawaran TS Muhyiddin untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang inklusif.
Kita tidak tahu idea kerajaan perpaduan itu datangnya daripada DS Anwar Ibrahim, Istana
Negara atau orang-orang yang rapat dengan Istana Negara atau terdapat kesepakatan
antara mereka. Apa yang merisaukan ialah bahawa Yang di-Pertuan Agong, dalam
pertemuan dengan ketua-ketua parti itu, menunjukkan bahawa Baginda menghendaki
sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan, walaupun DS Ismail Sabri telah mendapat
sokongan majoriti. Malah, mengikut sumber yang boleh dipercayai terdapat cubaan
menghendaki DS Ismail Sabri menandatangani surat pengakuan bahawa selepas beliau
dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau akan menubuh kerajaan perpaduan, senada
dengan apa yang dikehendaki oleh DS Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.
Jika benarlah demikian, ia bererti Yang di-Pertuan Agong telah melebihi bidang tugas
Baginda dan Baginda telah campur tangan dalam hal politik, sesuatu yang tidak
sepatutnya dilakukan Baginda. Niat Baginda mungkin baik, tetapi ia terletak di luar bidang
tugas Baginda.
Esoknya, pada 20 Ogos 2021, mesyuarat Raja-Raja Melayu pula diadakan. Ini tidak
diperuntukkan dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang. Ia tidak disuruh
dan tidak dilarang. Perlembagaan tidak memberi Raja-Raja Melayu apa-apa peranan
dalam pelantikan Perdana Menteri. Paling kurang, bolehlah dikatakan mesyuarat itu tidak
perlu. Sebaliknya, dengan mengadakan mesyuarat itu, ia memberi gambaran seolah-olah
Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan sendiri.
Namun demikian, beberapa jam selepas mesyuarat itu tamat, keluarlah kenyataan media
bahawa Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan melantik DS Ismail Sabri sebagai Perdana
Menteri Malaysia ke-9. Kita fikir, dengan itu selesailah kemelut pelantikan Perdana
Menteri ke-9, suatu tindakan mudah yang telah disusahkan hingga menimbulkan
berbagai keraguan, syak wasangka dan ketidaktentuan yang tidak sepatutnya berlaku jika
pelantikan dibuat terus seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Tetapi, tidak. Ingat semula, sebelum pelantikan. DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri,
Istana Negara ada mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan beliau tertakluk kepada
undi percaya dalam Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 13 September 2021.
Apabila tarikh persidangan itu semakin dekat dan tiada tanda-tanda Kerajaan akan
membawa isu percaya terhadapnya, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan
mengingatkan semula bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos telah bertitah agar
Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi
menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti. Kegagalan melakukannya akan
menjadi penentangan terbuka yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan yang
disengajakan dan bersikap keras kepala terhadap Titah Diraja, katanya.
Pada hari yang sama, Malaysiakini memetik DS Anwar Ibrahim sebagai berkata, “Sultan
Nazrin turut menitahkan undi percaya harus menjadi first item ketika Parlimen bersidang
semula yang turut dipersetujui semua ketua parti.”
Pada hari yang sama juga, Peguam Negara mengeluarkan kenyataan media, yang
selepas menurunkan proses pelantikan DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri,
menyatakan:
“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh
mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri
Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain. Langkah sedemikian adalah tidak selaras
dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka
Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada
keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan yang
telah dibentuk menurut lunas undang-undang.”
Selepas itu Majlis Presiden Pakatan Harapan pula mengeluarkan kenyataan yang,
antara lain, mengatakan:
“Kenyataan Peguam Negara ini bertentangan dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana
Negara pada 17 Ogos yang lalu.
Seperti yang terakam di dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021,
Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh
Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah
secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk
mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”
Titah Seri Paduka Baginda ini turut ditekankan KDYMM Seri Paduka Baginda Timbalan
Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua
parti….
Oleh yang demikian, Majlis Presiden beranggapan bahawa kenyataan Peguam Negara
bagi pihak Kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan
Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka Baginda.
Ini juga merupakan kali kedua Peguam Negara telah derhaka terhadap Seri Paduka
Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang
jawatan Peguam Negara.
Pakatan Harapan mendesak Peguam Negara meletak jawatan kerana beliau bukan
sahaja telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, tetapi beliau juga telah
mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.”
Perhatikan, pertama, kenyataan Yang di-Pertuan Agong itu telah digunakan sepenuhnya
oleh pembangkang sebagai alasan bagi menuntut apa yang mereka kehendaki. Sama
ada persamaan pendapat keduanya satu kebetulan atau tidak ia boleh memberi
gambaran bahawa Yang di-Pertuan Agong berada di sebelah pembangkang atau nama
Baginda digunakan oleh pembangkang untuk kepentingan mereka. Semua ini tidak akan
berlaku jika Istana Negara tidak mengeluarkan kenyataan itu.
Kedua, apa yang disebut dalam kenyataan itu terletak di luar bidang tugas Yang di-
Pertuan Agong. Tugas Yang di-Pertuan Agong adalah melantik Perdana Menteri baharu
daripada “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat
kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”. Setelah membuat pelantikan, tugas Baginda
selesai. Bukanlah tanggungjawab Baginda untuk memastikan orang yang Baginda lantik
itu benar-benar mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat atau masih lagi
mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Ketiga, tidak ada sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong patut meletakkan beban
membuktikan keabsahan pelantikan olehnya di atas bahu Perdana Menteri. Perdana
Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Mengapa Yang di-Pertuan Agong
menghendaki Perdana Menteri membuktikan pelantikannya yang dibuat oleh Baginda itu
sah?
Keempat, dengan menghendaki Perdana Menteri mengusulkan undi percaya terhadap
diri dan Kerajaannya sendiri, memberi gambaran seolah-olah Yang di-Pertuan Agong
tidak yakin terhadap keputusan yang dibuatnya sendiri atau/dan Perdana Menteri itu tidak
yakin bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Kelima, mana-mana pihak yang hendak mencabar keabsahan pelantikan itu hendaklah
melakukannya di mahkamah. Mana-mana pihak yang hendak mencabar kelayakan
seorang Perdana Menteri untuk terus memegang jawatan itu atas alasan beliau tidak
mendapat sokongan majoriti hendaklah membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat.
Beban pembuktian terletak di atas bahu pihak yang menuduh/mencabar.
Mengenai peranan yang dimainkan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula kita
bersandar kepada petikan apa yang dikatakan oleh DS Anwar Ibrahim seperti yang disiar
oleh Malaysiakini dan kenyataan media Majlis Presiden Pakatan Harapan. Daripada
kedua-dua dokumen itu adalah jelas bahawa memang benar ketua-ketua parti dijemput
menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga turut
hadir dalam majlis itu. Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mempercayai
kebenaran apa yang dikatakan dalam dokumen-dokumen itu iaitu “Sultan Nazrin turut
menitahkan undi percaya harus menjadi first item ketika Parlimen bersidang semula….”
Dokumen-dokumen ini juga menyokong cerita bahawa dalam perjumpaan itu, ketuaketua
parti disoal seorang demi seorang sama ada mereka menyokong penubuhan
kerajaan perpaduan.
Dalam kedua-dua hal ini (menghendaki penubuhan kerajaan perpaduan dan membawa
usul percaya di Dewan Rakyat), dengan penuh taat setia, saya berpendapat Baginda
juga telah melampaui bidang tugas Baginda. Sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong
Baginda tidak ada peranan dalam pelantikan Perdana Menteri. Sekarang, nama Baginda
digunakan oleh pembangkang sebagai alasan bagi menyokong tuntutan mereka.
Saya percaya Baginda tidak menyangka kehadiran Baginda dan apa yang dikatakan oleh
Baginda dalam majlis itu akan didedahkan kepada umum untuk menyokong tuntutan
pembangkang. Biar apa pun ia telah berlaku: ahli politik akan menggunakan sesiapa
sahaja untuk mencapai tujuan mereka – kuasa.
Sampai kita kepada kenyataan media Peguam Negara. Saya percaya ia dibuat atas
permintaan Pejabat Perdana Menteri. Maka, nasihat saya yang pertama sekali ialah
beliau hendaklah belajar berkata “tidak” kepada ahli-ahli politik, di mana berkenaan.
Sebenarnya ini bukan isu undang-undang. Ia adalah isu politik. Jika apa yang hendak
dicabar itu adalah keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong (saya tidak
nampak bagaimana ia boleh dicabar), maka itu adalah isu undang-undang dan forumnya
adalah di mahkamah. Apa yang hendak dicabar sekarang ialah sama ada, pada masa
ini, khususnya pada masa undi percaya atau tidak percaya dilakukan, Perdana Menteri
mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat atau tidak. Ia tidak ada kena
mengena dengan persoalan pelantikannya oleh Yang-Pertuan Agong sah atau tidak.
Kedua, dengan Yang di-Pertuan Agong, Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan
pembangkang berada di pihak yang sama, apabila Peguam Negara mengeluarkan
kenyataan itu, beliau nampak seperti mempertahankan pendirian kerajaan. Lainlah
halnya jika ia isu undang-undang.
Ketiga, terdapat kekeliruan dalam pendapat itu sendiri apabila ia berkata “Sekiranya
pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh manamana
pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri
Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain”. Seperti yang telah disebut, apa yang
hendak dicabar bukanlah keabsahan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi
sama ada, pada masa ini Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-
Ahli Dewan Rakyat atau tidak. Maka hujah Peguam Negara itu tidak berkenaan.
Pada 7 September 2021, semasa saya sedang menyemak rencana ini, saya menerima
berita bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan undi percaya tidak perlu dilakukan
terhadap Perdana Menteri DS Ismail Sabri Yaakob di Parlimen.
Saya percaya bahawa apa yang dimaksudkan dengan “undi percaya” itu adalah undi
percaya yang dikehendaki oleh Yang di-Pertuan Agong dibawa oleh Kerajaan terhadap
Perdana Menteri dan Kerajaannya. Dalam kata-kata lain, Yang di-Pertuan Agong tidak
lagi menghendaki undi percaya itu dibawa oleh Kerajaan. Ia tidak termasuk undi tidak
percaya yang mungkin akan dibawa oleh pembangkang kerana saya tidak fikir Baginda
atau sesiapa boleh menghalang pembangkang berbuat demikian.
Dari awal saya katakan bukanlah tanggungjawab Kerajaan untuk membuktikan bahawa
ia ada sokongan majoriti. Beban membuktikan Kerajaan tidak mempunyai sokongan
majoriti terletak di atas bahu orang yang mengatakan Kerajaan tidak mempunyai
sokongan majoriti. Dalam kata-kata lain Kerajaan tidak perlu membawa undi percaya
terhadap dirinya.
Jika semua pihak memahaminya, Yang di-Pertuan Agong tentulah tidak akan mengeluar
kenyataan menghendaki dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong tentulah tidak akan
menitah Kerajaan membawa, undi percaya terhadapnya sendiri apabila Parlimen
bersidang. Sekarang Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan undi percaya itu
tidak diperlukan. Bagaimana kita hendak reconcile keputusan baharu ini dengan
kenyataan yang dikeluarkan sebelumnya? Apa kata Timbalan Yang di-Pertuan Agong?
Demikian juga, jika semua pihak memahaminya, Perdana Menteri juga tidak perlu
menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan undi percaya itu tidak
perlu dilakukan. Kita belum tahu apa komen pembangkang terhadap perkembangan
baharu ini. Mengapa memberi modal kepada mereka?
Alasan yang diberi mengapa Yang di-Pertuan Agong mengubah pendiriannya adalah
sama dengan kenyataan Peguam Negara, cuma ditambah dalam masa yang singkat itu
tidak mungkin Ahli-Ahli Parlimen itu akan menukar fikiran mereka.
Alasan ini tidak lebih daripada anggapan dan tidak meyakinkan. Alasan sebenarnya ialah
bukanlah tanggungjawab Kerajaan untuk membuktikan bahawa ia ada sokongan majoriti.
Noktah.
Kesimpulan
Dari sini dapat diperhatikan, selama lebih kurang 40 tahun selepas Merdeka, sistem Raja
Berperlembagaan di Malaysia berjalan dengan licin, Raja dan Kerajaan masing-masing
menjalankan tugas masing-masing seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Di sekitar 1984, mulalah timbul masalah yang berbangkit daripada keengganan Raja
menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen,
menyebabkan pindaan kepada Perkara 40 dan 66 terpaksa dibuat.
Tahun-tahun 2020 dan 2021 memperlihatkan tindakan-tindakan di luar Perlembagaan
yang menjadikan sesuatu yang mudah itu susah. Keadaan menjadi lebih buruk apabila
Raja-Raja, bukan sahaja tidak mengikut nasihat, di mana Perlembagaan
memperuntukkan mereka kena berbuat demikian, tetapi melakukan sesuatu di luar
Perlembagaan dan menitahkan sesuatu yang bercanggah, apatah lagi sesuatu yang
bersifat politik, yang digunakan oleh pembangkang untuk mencapai kehendak mereka.
Maka, betul atau tidak, nampaklah seolah-olah Raja berada di satu pihak dan Kerajaan
di satu pihak lagi. Sebagai reaksi kepada keadaan itu, Kerajaan pula menggunakan
Peguam Negara untuk menyokong pendiriannya. Pada hal, Kerajaan boleh berkata
dengan lantang, bukanlah tanggungjawabnya untuk membawa usul percaya terhadap
dirinya untuk membuktikan ia ada sokomgan majoriti, tetapi sesiapa yang mengatakan
Kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti adalah bebas untuk membawa usul tidak
percaya terhadapnya.
Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pembangkang, bukan dengan mengaitkan
kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk
memaksa Kerajaan mengemukakan undi percaya terhadapnya sendiri. Adalah juga lebih
baik jika Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak
mengeluarkan kenyataan dan menitahkan supaya undi percaya dibawa oleh Kerajaan
yang dijadikan modal oleh pembangkang, apatah lagi, kemudiannya Yang di-Pertuan
Agong berkenan pula ia tidak perlu dilakukan.
Semua ini telah memberi alasan kepada Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura,
apabila disoal oleh wartawan apa yang beliau buat untuk menghilang rasa bosan yang
disebabkan oleh Covid-19, beliau menjawab beliau menonton lawak politik Malaysia.
Walaupun pedih telinga mendengarnya, kita tidak boleh menyalahkan beliau kerana
kitalah yang memberinya alasan untuk berkata demikian.
08 09 2021
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me
Nota:
Saya berterima kasih kepada Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang telah membekalkan saya
dokumen-dokumen berkenaan yang membolehkan saya menulis rencana ini.