Kebebasan Apakah Yang Diperjuangkan Oleh Malaysiakini dan Penyokong-penyokongnya ?

Pada 19 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 6:1 mendapati Mkinidotcom Malaysia Berhad (Malaysiakini) bersalah kerana menghina mahkamah (contempt of court) dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500,000.

Dalam masa lebih kurang lima jam selepas tabung membantu Malaysiakini dilancarkan, sumbangan penyokong-penyokongnya, yang didahului DAP dan Ahli-Ahli Parlimen DAP melebihi jumlah itu.

Pada 19 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 6:1 mendapati Mkinidotcom Malaysia Berhad (Malaysiakini) bersalah kerana menghina mahkamah (contempt of court) dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500,000.

Dalam masa lebih kurang lima jam selepas tabung membantu Malaysiakini dilancarkan, sumbangan penyokong-penyokongnya, yang didahului DAP dan Ahli-Ahli Parlimen DAP melebihi jumlah itu.

Penghakiman itu telah menarik perhatian seluruh dunia dan disiarkan dalam media antarabangsa termasuklah, Al-Jazeera, BBC, The Guardian, New York Times, Straits Times (Singapore), Bangkok Post, South China Morning Post, malah Agencia EFE yang berbahasa Sepanyol, Reuters dan lain-lain.

Laporan-laporan itu yang disertai dengan komen-komen dan rencana-rencana yang ditulis mengenai penghakiman berkenaan menyifatkan penghakiman itu akan mengekangkan lagi kebebasan akhbar di Malaysia dan merupakan satu bentuk penapisan dan sekatan kebebasan bersuara pembaca.

Lim Kit Siang menyifatkan hukuman tersebut sebagai amat mengejutkan (most shocking). Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, mengatakan hukuman itu bukan bertujuan menghukum tetapi membalas dendam (not punitive but vindictive). Seterusnya beliau berkata:

“Ia menimbulkan pertanyaan tentang kebebasan badan kehakiman dan juga memberi amaran kepada kita agar tidak bersuara.”

DAP mengeluarkan kenyataan yang ditandatangani oleh 50 Ahli Parlimen DAP bertajuk “DAP stands in solidarity with Malaysiakini.” Seterusnya, kenyataan itu berkata:

“Ini adalah hari yang menyedihkan bagi Malaysiakini dan untuk industri media di Malaysia. Kami berpadu dengan rakan media kami di Malaysiakini.”

Kenyataan itu juga merakamkan bahawa setiap Ahli Parlimen DAP menderma sebanyak RM1,000 seorang dan DAP menderma RM10,000 disamping menyeru orang ramai menderma bagi membantu Malaysiakini.

Seorang penulis rencana dalam akhbar bahasa Melayu mempersoalkan sama ada selepas ini media patut berhenti melaporkan kes mahkamah. Terdapat juga pemimpin UMNO yang turut menyatakan penghakiman itu akan mengekang kebebasan akhbar di Malaysia.

Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Ng Kian Nam mengatakan pihaknya khuatir keputusan kes itu menetapkan duluan (precedent) berbahaya yang menekan kebebasan bersuara. “Kami juga meminta perdana menteri untuk melaksanakan reformasi struktur sesegera mungkin, seperti membahagikan peranan peguam negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan sebagai pendakwa raya kes-kes jenayah, dan melantik calon yang lebih sesuai untuk posisi yang relevan.” “Hanya dengan cara ini, kebebasan sistem kehakiman dan kebebasan bersuara warga negara kita benar-benar ditegakkan,” tambahnya.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan pula menyifakan penghakiman itu sebagai satu tamparan kepada landskap media berita yang cepat menakutkan perbincangan isu-isu kepentingan awam dan ia memberi pukulan tepat kepada kempen berterusan kita untuk menentang rasuah berubah di negara ini. Ia akan memberi kesan mengerikan dalam perbincangan mengenai isu-isu kepentingan awam dan ini memberi tamparan hebat kepada kempen berterusan kami untuk memerangi rasuah, antara lain, katanya. Seterusnya beliau berkata bahawa penghakiman itu adalah satu cubaan bukan sahaja untuk menghukum malah untuk menutup terus Malaysiakini.

Sementara itu, CEO Malaysiakini, Premesh Chandran, merujuk kepada banyaknya sokongan kewangan yang diterima berkata bahawa ia menunjukkan apa yang betul dan apa yang salah di negara ini. Bahawa rakyat sanggup bangun dan memberi bantuan untuk membolehkan suara mereka didengar dan menjadikan negara ini lebih baik, dan menyumbang untuk membetulkan yang salah, katanya.

Untuk berlaku adil, perlu disebut bahawa ada pihak yang menyambut baik penghakiman itu dan cuba menjelaskan apakah kesan sebenarnya penghakiman itu. Tun Zaki Azmi, mantan ketua Hakim Negara menekankan bahawa hukuman terhadap Malaysiakini itu bukanlan bertujuan mengekang kebebasan akhbar tetapi adalan untuk menjadikan portal berita bertanggungjawab. Tulisan-tulisan Dr. Kamarul Zaman dan Lukman Sheriff juga berkenaan.

Buzze Azam, saya percaya seorang peguam, telah memperturunkan komen-komen berkenaan, menganalisis penghakimam itu dan menjelaskan sebab-sebab mengapa mahkamah (majoriti) mencapai keputusan itu.

Malah, peguam utama Malaysiakini, Malik Imtiaz patut dipuji kerana memberi penjelasan kesan penghakiman itu secara profesional.

Tidak seorang pun daripada pengkritik-pengkritik penghakiman itu memperturunkan komen-komen lima orang pembaca itu. Saya percaya mereka tidak tahu pun apa komen yang dibuat oleh lima orang pembaca itu atau tidak mempedulikannya. Mereka tidak menyebut pendirian Malaysiakini mengenainya; mereka tidak menyatakan undang-undang mengenainya; mereka tidak menyebut mengenai kegagalan Malaysiakini mengemukakan keterangan untuk menyangkal anggapan undang-undang terhadap Malaysiakini dan mereka tidak menyebut mengenai alasan yang diberi oleh mahkamah mengapa ia dapati Malaysiakini bertanggungjawab di sisi undang-undang ke atas komen-komen itu.

Saya percaya mereka semua tidak membaca penghakiman itu, sebaliknya hanya membaca berita Malaysiakini didenda RM500,000 kerana menyiar lima komen pembaca dan terus mengkritik.

Supaya pembaca rencana ini mengetahui hal yang sebenar, biarlah saya menurunkan semua itu daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan itu sendiri.

Pada 09 06 2020 Ketua Hakim Negara membuat kenyataan akhbar yang disiarkan oleh Malaysiakini: “Ketua Hakim Negara telah mengarahkan semua mahkamah bersidang semula sepenuhnya mulai 1 Julai” bersesuaian dengan fasa pemulihan Perintah Kawalan Pergerakan. Itu sahaja yang dikatakan oleh Ketua Hakim Negara. Malaysiakini bukan sahaja menyiarkannya sebagai satu berita, yang sepatutnya dilakukan, tetapi ia juga menyediakan ruangan untuk komen. Komen apa yang diharapkan terhadap kenyataan seperti itu?

Lima orang pembaca berkenaan pun memasukkan komen mereka:

1. “Ayah Punya kata:

The High Courts are already acquitting criminals without any trial. The country has gone to the dogs;

(Mahkamah Tinggi telah pun membebaskan penjenayah tanpa perbicaraan. Negara telah lingkup.” Terjemahan saya.

2. “GrayDeer0609:

Kangaroo courts fully operational? Musa Aman 43 charges fully acquitted. Where is law and order in this country? Law of the Jungle? Better to defund the judiciary!”

(Mahkamah Kangaroo beroperasi sepenuhnya. 43 pertuduhan terhadap Musa Aman dibebaskan sepenuhnya. Di mana law and order di negara ini? Lebih baik jangan bagi dana kepada badan kehakiman!) Terjemahan saya.

3. “Legit:

This Judge is a shameless joker. The judges are out of control and the judicial system is completely broken. The crooks are being let out one by one in an expeditious manner and will running wild looting the country back again. This Chief Judge is talking about opening of the courts. Covid 19 slumber kah!”

(Hakim itu adalah pelawak yang tidak tahu malu. Para hakim berada di luar kawalan dan sistem kehakiman hancur sama sekali. Penjahat dilepaskan seorang demi seorang dengan cepat dan akan lari berkeliaran menyamun negara semula. Ketua Hakim ini bercakap mengenai pembukaan mahkamah. Covid 19 tidurkah kah!)) – Terjemahan saya.

4. “Semua Boleh – Bodoh pun Boleh:

Hey Chief Justice Tengku Maimun Tuan Mat – Berapa JUTA sudah sapu – 46 kes corruption – satu kali Hapus!!! Tak Malu dan Tak Takut Allah Ke? Neraka Macam Mana? Tak Takut Jugak? Lagi – Bayar balik sedikit wang sapu – lepas jugak. APA JUSTICE ini??? Penipu Rakyat ke? Sama sama sapu wang Rakyat ke???”

5. “Victim:

The Judiciary in Bolihland is a laughing stock.”

(Badan Kehakiman di Bulihland adalah bahan ketawa.)

Perenggan 4 penghakiman itu mengatakan:

“[4] Responden (Malaysiakini – ditambah) mengakui bahawa komen tersebut memang menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous.) Responden juga menyesali penerbitannya, dan ia bukan sesuatu yang boleh dimaafkan oleh Responden. Dengan adanya konsensus seperti itu, kami tidak bermaksud untuk mempertimbangkan lebih jauh mengenai apa yang merupakan penghinaan dalam undang-undang”. (Terjemahan saya.)

Tetapi saya akan menganalisisnya supaya pembaca rencana ini dapat tahu apa relevannya komen-komen itu dengan kenyataan Ketua Hakim Negara itu dan betapa biadabnya komen-komen itu.

Mengenai komen nombor 1, pertama, saya percaya dia merujuk kepada kes-kes yang Pendaka Raya tidak meneruskan pendakwaan seperti kes Musa Aman. Pertama, kuasa tidak hendak meneruskan pendakwaan terletak kepada Pendakwa Raya/Peguam Negara. Apabila Pendakwa Raya memberitahu mahkamah beliau tidak hendak meneruskan pendakwaan terhadap sesuatu kes, maka mahkamah tidak ada pilihan melainkan melepaskannya. Itu undang-undang. Itu jugalah yang berlaku dalam kes Lim Guan Eng, Siti Kasim, Ahli Parlimen dan ADUN DAP/PKR, penyokong-penyokong DAP dan orang-orang yang dituduh kerana menyokong LTTE semasa pemerintahan PH dahulu.

Mengenai nombor 2, perkataan mahkamah kangaroo itu sendiri adalah satu penghinaan. Ia menggambarkan mahkamah yang tidak mengikut undang-undang dan etika keadilan. Berkenaan kes Musa Aman, penjelasan saya mengenai komen nombor satu adalah terpakai.

Komen nombor 3 dan 5 jelas menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous.) Tidak ada apa yang perlu dikatakan lagi.

Komen nombor 4 terus terang satu fitnah terhadap diri Ketua Hakim Negara. Beliau boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis komen itu dan Malaysikini. Tetapi, jika beliau berbuat demikian dan berjaya, besar kemungkinan tuduhan akan dibuat bahawa hakim itu menyebelahi ketuanya dan tidak berlaku adil juga. Mungkin kerana itu beliau tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Mereka patut berterima kasih kepada beliau. Ini satu contoh di mana Ketua Hakim Negara “dinafikan” hak keadilan yang beliau dikehendaki memberi kepada orang lain.

Pengkritik-pengkritik itu tidak langsung menyebut mengenai jenis komen yang menjadi isu kes itu. Sebaliknya, mereka berkata secara umum bahawa penghakiman itu akan mengekang kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Adakah ia termasuk kebebasan bersuara untuk mengutuk, memaki hamun dan memfitnah tanpa memahami fungsi sebenar mahkamah dalam sesuatu kes atau tidak mempedulikannya seperti yang dilakukan oleh lima orang pembaca itu? Itukah jenis komen yang Malaysiakini dan penyokong-penyokongnya galakkan, pertahankan dan perjuangkan? Atau adakah pengkritik-pengkritik itu sengaja memutar (twist) penghakiman itu untuk mengutuk badan kehakiman kerana yang dihukum itu adalah penyokong mereka, terutama sekali DAP?

Mereka sepatutnya mengambil perhatian apa yang dikatakan dalam penghakiman itu:

“[66] Namun demikian, kejadian malang ini harus menjadi peringatan kepada masyarakat umum bahawa menyatakan pandangan seseorang terutama sekali dengan membuat serangan yang tidak beralasan dan merendahkan kehakiman tidak boleh dibuat mengikut sesuka hati seseorang. Walaupun kebebasan memberi pendapat dan bersuara dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan kita, kebebasan itu mestilah dilakukan dalam batasan yang dibenarkan oleh undang-undang. Dan undang-undang tidak bertolak ansur dengan penghinaan terhadap Mahkamah kerana ia melemahkan sistem keadilan.

[67] Masyarakat Malaysia perlu menggunakan budi bicara mereka secara rasional dan bijaksana terutama sekali ketika menyiarkan di internet kerana ia akan kekal turun temurun di dunia maya. Orang awam Malaysia tidak terkenal bersikap kasar, tidak berbudi bahasa, tidak menghormati orang atau atau tidak sopan. Norma sosial ini hendaklah dihargai dan dipelihara sehabis-habisnya. Janganlah media sosial mengubah landskap sosial negara ini. Malaysiakini juga bertanggungjawab memastikan tingkah laku sosial ini terpelihara. Ini akan banyak membantu menjadikan Malaysiakini satu portal yang bertanggungjawab, untuk tujuan wacana umum.

Penghakiman itu tidak menghalang komen terhadap mahkamah, pentadbiran keadilah mahupun penghakiman mahkamah. Tetapi, komen itu hendaklah berasas dan dilakukan dengan cara yang beradab, bersopan dan berbudi bahasa bukan dengan komen-komen yang menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous) dan menuduh Ketua Hakim Negara rasuah tanpa asas. Komen-komen yang kemudian disebut itu sahaja yang dilarang.

Malaysiakini sendiri mengakui dalam prosiding di mahkamah itu bahawa komen-komen tersebut memang menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous.) Malaysiakini juga menyatakan penyesalannya kerana menerbitkan komen-komen itu, mengakui bahawa ia bukan sesuatu yang boleh dimaafkan olehnya dan memohon maaf kepada mahkamah. Jika mahkamah menghukum denda RM20,000 mungkin ia tidak dijadikan satu isu. Tetapi apabila hukuman itu di luar jangkaan mereka, maka ia dikatakan mengekang kekebasan akhbar dan kebebasan bersuara secara umum. Itu tidak selaras dengan pendiriannya di mahkamah.

Perlu diambil ingatan bahawa pembelaan Malaysiakini hanyalah ia tidak patut dipertanggungjawabkan ke atas komen-komen itu kerana ia tidak tahu mengenainya. Mahkamah telah memberi alasan-alasan mengapa ia dapati pembelaan Malaysikini tidak berjaya menyangkal anggapan undang-undang terhadapnya.

Perenggan [17] dan [21] penghakiman itu berkata:

“[17] Penjelasan yang diberikan oleh Responden-Responden (Malaysiakini dan Steven Gan – ditambah) dapat disimpulkan dengan cara ini. Responden Pertama (Malaysiakini – ditambah) tidak menyedari komen tersembunyi yang disiarkan di laman webnya. Responden Pertama sama sekali tidak menyedari adanya komen tersebut sehingga diberitahu oleh pihak polis. Responden Pertama tidak mempunyai kewajiban undang-undang untuk menyederhanakan komen yang dihantar oleh pihak ketiga.
…..

[21] Ringkasnya, inti dari pembelaan Responden Pertama adalah bahawa ia tidak mempunyai pengetahuan, jelas atau diandaikan. Semasa pendengaran lisan di hadapan kami, peguam bagi kedua-dua Responden juga mengambil pendirian bahawa kes mereka berdiri atau jatuh atas isu pengetahuan. (Terjemahan saya).

Mahkamah itu telah menimbang undang-undang berkenaan yang berkuatkuasa di negara ini pada masa ini dan juga penghakiman-penghakiman dari negara-negara luar termasuk England, Australia, New Zealand, Singapura dan India; menganalisis keterangan-keterangan yang dikemukakan; mengambil kira kegagalan Malaysiakini mengemukakan keterangan sepuluh orang pengarangnya untuk menafikan pengetahuan mereka mengenai kewujudan komen-komen itu dan menyimpulkan keputusannya seperti berikut:

[57] Setelah menimbang semua penghujahan di hadapan kami dan atas semua alasan yang dijelaskan di atas, kami yakin bahawa penjelasan Responden Pertama mengenai kekurangan pengetahuan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pemohon. Responden Pertama juga gagal atas keseimbangan kemungkinan, untuk menyangkal anggapan penerbitan dengan alasan bahawa dia tidak mengetahui tentang komen yang menyinggung itu. Kod kandungan SKMM tidak memberikan perisai pembelaan kepada Responden Pertama.

[58] Oleh itu, kami berpuas hati bahawa kes penghinaan melebihi keraguan munasabah telah dibuktikan terhadap Malaysiakini. Dalam hal ini, kami mengulangi bahawa penjelasan yang diberikan oleh Responden Pertama bahawa ia tidak mengetahui, telah gagal menyangkal anggapan terhadapnya, dan oleh itu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pemohon. (Terjemahan saya).

Perlu juga diingati bahawa hakim-hakim membuat keputusan berdasarkan fakta yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang berkuatkuasa pada masa berkenaan, bukan sesuka hati mereka. Jika sesuatu pihak itu kalah kes kerana gagal mengemukakan keterangan-keterangan yang material, janganlah menyalahkan mahkamah, salahkan peguam sendiri. Jika tidak sukakan undang-undang yang berkuatkuasa pada masa ini, mintalah Ahli-Ahli Parlimen yang kuat menyokongnya mengadakan undang-undang seperti yang mereka suka. Jangan salahkan mahkamah. Bukanlah tugas mahkamah membuat undang-undang. Tugasnya ialah memutuskan kes mengikut undang-undang.

Mempersoalkan sama ada selepas ini media patut berhenti melaporkan kes mahkamah sudah lari jauh daripada isu dalam kes ini. Isunya adalah lima komen itu.

Mengatakan hukuman itu adalah untuk membalas dendam menurunkan martabat komen itu ke tahap yang sama dengan lima komen dalam kes ini. Apakah dendam mahkamah terhadap Malaysiakini? Lebih-lebih lagi menududuh “Ia menimbulkan pertanyaan tentang kebebasan badan kehakiman dan juga memberi amaran kepada kita agar tidak bersuara” adalah amat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila ia dibuat oleh seorang Ahli Parlimen. Tudahan itu membayangkan bahawa mahkamah mengikut arahan eksekutif dalam memberi penghakimannya.

Mengenai komen CEO Malaysiakini, Premesh Chandran, komen beliau itu amat meleset. Adakah kerana ramai orang menderma untuk membantu Malaysiakini bererti penghakiman itu salah di sisi undang-undang?

Mengenai cadangan MCA, adakah dengan mengasingkan jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya akan menyebabkan Pendakwa Raya tidak akan memulakan prosiding seperti itu? Adakah kerana ada sebahagian orang ramai, kebanyakannya disebabkan pendirian politik mereka, tidak sukakan satu penghakiman dalam satu kes yang dimulakan oleh seorang Peguam Negara/Pendakwa Raya, maka pegawai itu perlu diganti? Tidakkah mereka faham bahawa seorang Peguam Negara/Pendakwa Raya juga dikehendaki bertindak bebas daripada tekanan politik, sama seperti mahkamah?

Pengkritik-pengkritik mahu media internet tidak dipertanggungjawabkan bagi apa-apa yang ditulis oleh pembaca dalam sesawangnya yang menyediakan ruangan untuk pembacanya berbuat demikian untuk disiarkan ke seluruh dunia. Di mana pun, setiap pencetak bertanggungjawab bagi apa yang disiarnya itu. Mengapa media internet patut dikecualikan untuk manabur fitnah sebebas-bebasnya. Penghakiman itu menjawab soalan ini dengan tepat – lihat perenggan 67 penghakiman tersebut yang dipetik di atas.

Kesimpulan

Kes ini adalah mengenai lima komen yang disiarkan oleh Malaysiakini. Malaysiakini mengakui bahawa komen tersebut memang menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous.) Malaysiakini juga menyesali penerbitannya, dan mengaku bahawa ia bukanlah sesuatu yang boleh dimaafkan olehnya. Pembelaannya hanya satu: Malaysiakini tidak patut dipertanggungjawabkan kerana ia tidak tahu kewujudan komen-komen.

Mahkamah telah menimbang undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini dan juga penghakiman-penghakiman di negara-negara lain; keterangan yang dikemukakan oleh Malaysiakini untuk membela diri; kegagalan sepuluh orang pengarangnya menafikan pengetahuan mereka mengenainya; hakikat bahawa Malaysiakini menyediakan ruangan untuk pembaca-pembaca membuat komen-komen yang menyalahi undang-undang, menghina institusi kehakiman, menuduh Ketua Hakim Negara menerima rasuah dan menyiarkannya ke seluruh dunia dan mendapati Malaysiakini gagal menyangkal andaian bahawa ia tahu kewujudan komen-komen itu dan, oleh itu, ia bertanggungjawab di sisi undang-undang terhadap komen-komen itu dan mendapatinya bersalah.

Penghakiman itu adalah mengenai komen-komen itu. Mahkamah tidak berkata pembaca tidak boleh membuat komen mengenai badan kehakiman, pentadbiran badan kehakiman mahupun penghakiman mahkamah, asalkan ia dibuat dalam batasan yang dibenarkan oleh undang-undang dan dengan cara yang bersopan.

Apabila hukuman dijatuhkan, Ketua Pengarangnya dan penyokong Malaysiakini memutar (spin) penghakiman itu dan mengatakan penghakiman itu mengekang kebebasan akhbar, kebebasan menyuarakan pendapat mengenai isu-isu awam, kebebasan berbincang isu-isu negara dan perjuangan mereka menentang rasuah. Perbuatan ini amat tidak adil dan tidak bertanggungjawab. Ia juga lari daripada pendirian Malaysiakini di mahkamah mengenai komen-komen itu. Nampaknya, sekarang Malaysiakini dan penyokong-penyokong bukan sahaja mempertahankan komen-komen biadab itu malah memperjuangkannya atas nama kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara!

27 02 2021

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me