Politik Tempatan

Di Manakah Pelapis Kepimpinan Negara ?

Malam masih muda…

Adalah terlalu awal untuk kita menjangkakan apa yang bakal berlaku kepada kabinet menteri yang baru dilantik, sama ada dalam tempoh yang terdekat mahu pun PRU15 yang bakal berlangsung selewat-lewatnya pada tahun 2023 kelak.

Fasa ini adalah tempoh yang pendek untuk menguji kestabilan dan kemampuan kerajaan yang baharu, sebagaimana pendeknya kerajaan lalu yang bertahan hanya selama 21 bulan.

1- Di antara elemen asasi yang ingin dilihat oleh rakyat sekeliannya adalah sejauh mana kerajaan baharu ini berjaya mempamirkan kepimpinan yang memenuhi 3 kriteria iaitu, ‘Bersih, Berintegriti dan Berkaliber’.

2- Manakala perkara-perkara utama yang perlu diperkotakan segera adalah bagaimana kerajaan akan menangani isu kemelesetan ekonomi negara, kos sara hidup yang tinggi bagi rakyat, kos dan kualiti pendidikan di peringkat nasional serta isu kos serta kemudahan kesihatan buat rakyat marhein.

3- Di antara perkara hangat dan sensitif yang banyak ditimbulkan sejak beberapa tahun yang lalu sehingga mengesani keharmonian kaum adalah ehwal agama serta hak istimewa Melayu dan bumiputera. Tidak ketinggalan juga isu yang melibatkan bahasa kebangsaan dan insiden-insiden jahat yang melibatkan kebiadaban golongan tertentu kepada Raja dan terhadap Majlis Raja-Raja Melayu.

4- Sama ada disedari langsung oleh pemimpin politik atau pun tidak, orang-orang Melayu dan badan-badan agama Islam cukup terasa bila dikocakkan oleh cubaan-cubaan untuk menghidupkan agenda komunis, perluasan agenda evangelis, kelantangan suara kelompok seksual songsang LGBT, penyusupan agenda liberalisma dan pluralisma agama di seluruh negara. Bukti-bukti kepada agenda jahat ini amat banyak dan daripada sumber yang pelbagai.

5- Rakyat masih ternanti-nantikan hasil akhir daripada perbicaraan di mahkamah terhadap kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan bekas pemimpin-pemimpin politik negara (BN). Dalam masa yang sama mempersoalkan pengendalian kes panas oleh mantan AG seperti kes militan LTTE, ketirisan yang melibatkan para pemimpin DAP, Kes salah laku seksual dan kes kematian arwah Adib yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke saat ini.

6- Secara peribadi, saya tidak nampak bahawa pemimpin parti politik Melayu serius dalam menyediakan barisan pelapis kepimpinan masa depan secara terancang berbanding DAP sendiri yang kini diwakili oleh pemimpin muda di peringkat parlimen dan DUN. Kebanyakan ADUN dan MP DAP (60%) berumur bawah 40 tahun (2018 – Anthony Loke 39, Hannah Yeoh 39, Teo Nie Ching 37, Yeo Bee Yin 35).

7- PRU15 adalah medan ujian yang sebenar bagi sesebuah parti atau gabungan parti politik yang benar-benar mampu mempengaruhi generasi muda apabila berlaku pertambahan pengundi muda secara drastik (7.8 juta) daripada 14.9 juta kepada 22.7 juta total pengundi. Ini adalah ujian kepada parti politik Melayu berbanding DAP, MCA dan Gerakan yang jelas kelihatan jauh lebih bersedia.

Malam masih muda, ombak badai deras menerpa. Semoga pemimpin yang dipilih akan gigih berkeringat menunaikan amanah buat agama, bangsa dan negara. Ya, jawatan ini adalah amanah yang akan dipersoalkan kelak.

Sebagai marhein yang prihatin, saya menyeru sahabat seperjuangan dan rakan-rakan di luar sana agar tidak menyerahkan segala-galanya kepada pemimpin politik negara. Sejarah yang ada telah memaparkan segala harapan yang berlalu, benar atau pun palsu.

Kita perlu bekerja, membantu dan menyumbang apa yang terdaya untuk umat dan negara, selain berdoa munajat dan saling bersama mengingatkan.

Zainur Rashid Zainuddin

Ikuti catatan perkongsian di Telegram, Blog & Facebook

• Telegram : t.me/zainurrashid
• Blog : zainurrashid.com
• Facebook : fb.me/ProfDrZainurRashid

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close