Palestin

Umat Islam dan Bumi Palestin

Palestin mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dan istimewa di dalam aqidah umat Islam. Di Baitul Maqdis yang merupakan ibu negara Palestin, terletaknya Masjid al-Aqsa yang menjadi simbul kesucian Islam yang sudah terpahat dalam suratan takdir. Ianya tercermin di dalam jiwa dan kesedaran umat Islam sebagai kiblat mereka yang pertama, tempat berlakunya Isra’ dan Mi’raj, kota besar Islam ketiga, negeri kenabian dan keberkatan serta negeri perjuangan.

Hal ini telah disepakati oleh umat Islam di seluruh dunia serta mazhab dan alirannya, Maka tidaklah menghairankan apabila umat Islam sentiasa ghairah untuk membela kehormatan dan kesucian Baitul Maqdis dan Palestin dengan mengorbankan jiwa raga dan harta benda mereka demi kemuliaan bumi ini.

Palestin – Bumi Kiblat Pertama

Palestin adalah bumi yang diberkati kerana dipilih oleh Allah swt untuk menjadikan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis sebagai kiblat pertama umat Islam.

Dari dahulu sehingga kini, kuat terpahat di dalam jiwa dan pemikiran umat Islam bahawa Masjid al-Aqsa yang terletak di Palestin adalah kiblat mereka yang pertama. Rasulullah saw bersama para sahabat telah berkiblatkan Masjid al-Aqsa semenjak solat diwajibkan di malam Isra’ dan Mi’raj, tahun kesepuluh selepas nabi Muhammad saw diangkat sebagai Rasul atau tiga tahun sebelum peristiwa hijrah. Mereka terus menghadap ke Baitul Maqdis sehinggalah setahun dan enam bulan setelah mereka berhijrah ke Madinah, apabila turun ayat al-Quran yang memerintahkan mereka untuk menghadap ke Masjid al-Haram di Mekah, sebagaimana diabadikan dalam firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan dari mana sahaja kamu (Muhammad) berangkat, maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram. Dan di mana sahaja kamu berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya” (Al-Baqarah – 150)

Kini, Masjid Qiblatain di Madinah al-Munawwarah masih menjadi saksi sejarah yang nyata yang memperkuatkan peristiwa ini. Di situlah para sahabat mendirikan solat dengan berkiblatkan ke Masjid al-Aqsa pada sebahagian solat dan kemudiannya bertukar dengan berkiblatkan Masjid al-Haram pada sebahagian yang lain dari solat mereka.

Palestin – Negeri Isra dan Mi’raj

Palestin adalah negeri Istimewa kerana Allah telah menjadikan Baitul Maqdis sebagai destinasi terakhir perjalanan Isra’ di bumi dan permulaan perjalanan Mi’raj ke langit. Sebagaimana maksud firman Allah swt,

“Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al Masjid al-Haram ke Al Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. (Al-Isra:1)

Iradah Allah swt mengkehendaki untuk memulakan perjalanan Rasulullah saw pada malam yang penuh berkat itu dari Masjid al-Haram di Mekah dan Dia telah memilih Masjid al-Aqsa sebagai destinasi terakhir di bumi. Perkara ini bukanlah satu kebetulan sahaja tetapi merupakan peraturan Ilahi dan hikmah rabbani supaya Rasulullah saw, utusan terakhir bertemu dengan semua para Rasul dan baginda menjadi imam kepada mereka.

Ini adalah petanda bahawa mesej tauhid yang sama telah dibawa oleh semua para Rasul dan Allah telah mengumumkan tentang perubahan kepimpinan dunia dari para Rasul terdahulu kepada Rasulullah saw. Dari bani Israel kepada umat yang baru iaitu umat sedunia, Rasul sedunia dan Kitab sedunia sebagaimana maksud firman Allah swt,

“Dan tiadalah Kami mengutus engkau (Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam” (Al-Anbiya – 107)

Palestin – Terletaknya Baitul Maqdis, Kota Besar Islam Ketiga

Kota terbesar Islam yang pertama ialah Mekah yang dimuliakan Allah dengan Masjid al-Haram dan kota besar Islam yang ke-2 ialah Madinah yang dimuliakan dengan adanya Masjid an-Nabawi dani maqam Rasulullah saw. Manakala Baitul Maqdis adalah kota besar Islam yang ke-3 yang dimuliakan Allah dengan Masjid al-Aqsa serta kawasan yang diberkati sekelilingnya.

Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dan Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: ” Janganlah kamu bersusah payah untuk bermusafir kecuali untuk menuju ke tiga masjid: Masjid al-Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa”.

Dari Abu Darda menceritakan bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: ”Solat di Masjid al-Haram bersamaan dengan seratus ribu kali solat, solat di Masjidku bersamaan seribu kali solat dan solat di Masjid al-Aqsa bersamaan dengan lima ratus kali solat” Hadith riwayat at-Tabarani

Islam ketika menjadikan Masjid al-Aqsa sebagai masjid besar ke-3 bererti menjadikan Baitul Maqdis sebagai kota besar yang ke-3 selepas Mekah dan Madinah. Ini bermaksud bahawa Islam adalah datang untuk membangunkan dan bukan meruntuhkan, menyempurnakan dan bukan untuk memusnahkan. Baitul Maqdis dan Palestin adalah negeri kenabian kerana umat Islam adalah umat yang paling setia kepada para Nabi dan Rasul Allah swt sebagaimana Rasulullah saw pernah berkata kepada orang-orang Yahudi di Madinah : ”Kami lebih utama bagi Musa daripada kamu sekelian”.

Palestin – Negeri Kenabian dan Keberkatan

Palestin adalah negeri yang bertuah kerana di sinilah telah diutusnya ramai para Nabi untuk mengajak manusia agar mentauhidkan Allah swt. Sebahagian mereka lahir di sana. Sebahagian lagi dibesarkan dan menetap di sana. Manakala sebahagian lagi dikebumikan di sana. Antara mereka ialah Nabi Ibrahim (maqamnya di al-Khalil – Hebron), Nabi Ishaq, Nabi Ismail, Nabi Yaakub, Nabi Musa, Nabi Isa, Nabi Daud, Nabi Sulaiman dan lain-lain lagi. Semoga Allah memberkati mereka semua.

Allah swt telah berfirman tentang KhalilNya Ibrahim yang bermaksud,”Dan Kami selamatkan Ibrahim dan Lut ke sebuah negeri yang kami telah berkati untuk seluruh alam”. (Al-Anbiya-71).

Palestin – Negeri Perjuangan

           Palestin juga dikenali sebagai bumi pejuangan dan jihad Di sana letaknya kumpulan umat Islam yang teguh berjuang menegakkan kebenaran sehingga ke hari kiamat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

”Sekelompok dari umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh-musuh mereka kecuali apabila mereka ditimpa kesusahan, sehingga datang pertolongan dari Allah dan keadaan mereka akan kembali seperti sediakala”. Para sahabat bertanya:”Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah saw?” Baginda menjawab: ”Di Baitul Maqdis dan di bawah lindungan Baitul Maqdis”.

Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Ahmad dalam Musnad Ahmad.

Bab 1 dari buku Palestin Dijajah, Di Manakah Solahuddinnya – Dr Zainur Rashid Zainuddin

 

 

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close