Sampaikan salam kepada rakyat Malaysia….

Misi Kemanusiaan ke Gaza

Bertemu dengan salah ulama tersohor di Palestin adalah satu pengalaman yang cukup memberangsangkan semangat untuk terus berjuang.

Selain daripada peranannya sebagai Ahli Parlimen Gaza Tengah (Darul Balaah) dan Professor di Jabatan al Qur’an di Islamic University Gaza (IUG), Prof Dr Abdul Rahman Jamal juga merupakan Pengerusi dan Pengasas sebuah institusi pengajian yang dikenali sebagai Darul Qur’an wal Sunnah di Gaza.

Sebagai pakar rujuk al Qur’an di Palestin yang menguasai 10 jenis qiraat al Qur’an, beliau teah menubuhkan Darul Qur’an dan Sunnah sejak tahun 1992 dengan hanya 14 orang pelajar remaja.

Pelajar-pelajar ini mempelajari al Qur’an secara ‘part-time’ samada di sebelah pagi atau di sebelah petang, juga semasa cuti musim panas. Mereka juga dilatih supaya menghafaz 500 hadith selain daripada latihan secara praktikal dengannya.

Institusi ini telah berkembang sehingga mempunyai 720 pusat pengajian di bandar, pekan dan kampung di seluruh Gaza dan kini mempunyai pelajar seramai 22,000 orang.

Pengorbanan seorang ulama yang berumur 50 tahun ini telah membuahkan hasil yang begitu terserlah di kalangan masyarakat Gaza sehinggakan Qur’an menjadi sumber amalan harian dan beliau dijadikan sebagai tempat rujuk negara ini.

Aman Palestin telah mengambil inisiatif untuk menyertai Jam’iyyah Khairiah, Kuwait (Mercy Kuwait) dan beberapa NGO antarabangsa yang lain dengan memberikan sumbangan secara berkala terhadap usaha beliau dan Darul Qur’an dan Sunnah, Gaza. Pada tahun lepas, AP yang mewakili rakyat Malaysia telah menyerahkan sumbangan kewangan yang berjumlah kira-kira RM 350,000.00.

Beliau mengirimkan salam dan mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia serta badan-badan berkanun yang telah turut menyumbang kepada usaha yang mulia ini.

Moga-moga pengorbanan ini diterima Allah swt dan kita semua dipilih sebagai pendokong agamaNya.

Moga-moga Palestin dan al Aqsa bebas daripada penjajahan zionis.

MK-8 AP ke Gaza, 17hb April 2012