Palestin

Roti untuk makanan orang yang berduit…

Misi Kemanusiaan Aman Palestin ke Gaza, 15hb April 2012

Ketika berjalan-jalan melewati kawasan runtuhan bangunan dek Tragedi Gaza 2009 dulu, saya terserempak dengan seorang remaja penjual roti yang sedang menolak kereta sorongnya di hadapan hotel yang kami diami ketika berada di Gaza.

Saya memanggil remaja tersebut agar memberhentikan kereta sorong yang ditolaknya. Dia tersenyum dan segera menawarkan perkhidmatannya. Saya bertanya samada boleh membeli roti tersebut dengan Pound Egypt kerana saya tidak memiliki shekel Israel.

Dia mengangguk dan segera mencongak…ahaa, 3 pound Egypt (kira-kira RM 1.50) saja bagi satu roti gelung tersebut. Sambil mengambil 2 gelung roti tersebut, saya lantas bertanya kenapa roti yang kelihatan istimewa tersebut tidak laris dijual.

Beliau menjawab bahawa hanya segelintir kecil daripada penduduk Gaza yang mampu membeli roti untuk bersarapan pagi. Roti seperti ini boleh dikategorikan sebagai barang mewah untuk para penduduk di Gaza.

Apa tidaknya, kepungan di Gaza sejak tahun 2007 meliputi sekatan ekonomi, sekatan perniagaan, sosial, perubatan, politik dan tentunya tekanan ketenteraan oleh regim Israel.

Kurang daripada 10 % daripada keperluan seharian tepung gandum yang dibenarkan dibawa masuk ke Gaza melalui Rafah Gate manakala sebahagiannya dibawa masuk melalui terowong bawah tanah di Rafah. Ini mengakibatkan harga tepung naik antara 5-10 kali ganda.

Tambahan lagi dengan krisis minyak, maka industri kecil seperti kilang roti hampir tidak berfungsi sejak sekian lamanya. Pilihan mereka hanya dua iaitu bercatu dengan bekalan yang sedikit atau terus berlapar buat seketika lagi yang belum ditentukan waktu berakhirnya.

Apabila merasai situasi seumpama ini, barulah saya menginsafi betapa banyaknya nikmat dan pemberian Allah kepada umat Islam di Malaysia dan di negara-negara umat Islam yang lain. Namun umat yang diuji dengan kemewahan ini, dikhuatiri miskin dengan pengalaman hidup yang mendidik untuk terus bersyukur dan berkorban demi agamaNya.

Bagaimanakah cara kita di Malaysia berbelanja untuk memenuhi nafsu sang lidah dan sang perut yang tidak pernah merasa puas ini?

Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin

MK-AP ke Gaza, 15hb April 2012

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button