Palestin

Rafah dan Palestin – Satu catatan perjalanan

Bandar Rafah terletak di bahagian selatan Semenanjung Gaza, Palestin yang bersempadan dengan Mesir. Sejak zaman silam, Rafah adalah merupakan salah satu penempatan utama di zaman Othmaniyah yang menghubungkan jalan-jalan di antara Mesir dan Negara Sham yang lain iaitu Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin.

Dengan termeterainya parjanjian keamanan di antara Mesir dan Israel di Camp David pada 1982, Rafah telah dibahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian diberikan kepada Mesir dan satu bahagian lagi kepada Semenanjung Gaza (Palestin). Rafah kini mempunyai penduduk seramai 130 000 orang dan mempunyai beberapa buah kem pelarian Palestin.

Untuk ke Rafah, penulis perlu ke Kaherah, Ibu Negara Republik Arab Mesir terlebih dahulu dengan pesawat Egypt Air. Terasa bahawa penerbangan yang mengambil masa selama 10 jam dari KLIA itu amat panjang kerana hati kecil tidak sabar untuk melawat dan melihat perkembangan yang berlaku di Jalur Gaza dan sempadannya Rafah, Mesir.

Dengan ditemani oleh seorang kenalan yang sedang belajar di Universiti al Azhar, kami bermusafir ke El Arish, Bandar yang terbesar di utara Sinai, Mesir yang terletak kira-kira 214 km di kaherah. Perjalanan dengan teksi ini mengambil masa selama 3 jam setengah. Pemandangan sepanjang perjalanan ini amatlah menarik kerana ianya adalah suasana padang pasir yang diselangi oleh kebun-kebun tamar di sepanjang perkampungan orang-orang Mesir. Perjalanan menjadi lebih menarik apabila kami menyeberangi Terusan Suez dengan merentasi Jambatan Mubarak (usahasama Jepun-Mesir) yang panjang lagi dan canggih serta mempunyai nilai yang tersendiri buat Negara Mesir.

Perjalanan kami yang menarik ini diganggu oleh beberapa check point tentera Mesir di sepanjang jalan di Semenanjung Sinai ini. Kami telah diperiksa dan ditahan selama lebih sejam di atas ‘kesalahan’ mengambil gambar di zon militari katanya. Beberapa keping gambar yang bermakna buat kami telah dibuang dari kamera digital kami. Namun ianya tidak mematahkan semangat untuk kami meneruskan perjalanan yang sekian lama dinanti-nantikan ini.

Kami sampai ke Pekan El Arish setelah melalui lebih 3 jam di perjalanan yang sungguh menarik terutamanya buat diri yang sampai ke wilayah ini buat kali pertama. Bumi Mesir sebenarnya adalah tanah yang subur sekiranya bekalan air dapat disalurkan ke kawasan-kawasan padang pasir ini. Di Pekan Arish, Sinai kami dapati ramai pelarian Palestin yang menumpang di rumah-rumah tumpangan. Rumah tumpangan yang telah kami tempah beberapa minggu sebelumnya turut diduduki oleh pelarian Palestin. Hati merasa agak terharu apabila kami dapati orang-orang awam Mesir juga turut membantu keperitan yang dihadapi oleh pelarian dari Semenanjung Gaza ini. Tidak seperti apa yang berlaku di Lubnan, pelarian di sini berpeluang untuk menyewa atau menumpang di rumah tumpangan malahan ramai di kalangan pelarian Palestin dari Gaza ini bekerja sebagai buruh, peniaga dan pembantu jualan di Arish. Dianggarkan sebanyak 10 peratus daripada penduduk Pekan El Arish adalah mereka yang berasal dari Palestin.

Kami sempat menemubual salah seorang peniaga minyak zaitun yang bernama ‘Issam Khalil. ‘Issam yang berumur 58 tahun telah dilahirkan oleh ibunya di Pekan El Arish, Sinai setelah ibunya terpaksa melarikan diri dari Gaza semasa Nakbah 1948 (ketika Negara haram Israel ditubuhkan). Walaupun telah dilahirkan di Mesir dan bermastautin di situ selama hampir tahun, beliau masih memiliki kerakyatan Palestin dan hanya diberikan visa mastautin Mesir selama ini. Di dalam hatinya, beliau tetap bercita-cita untuk kembali ke Palestin suatu hari nanti.

Keesokan harinya, kami ke Rafah, Mesir yang jaraknya kira-kira 40 km dari Pekan El Arish. Sepanjang perjalanan kami menyaksikan kesuburan bumi Anbiya ini apabila melihat kebun-kebun zaitun, limau, epal dan berbagai tanaman lain yang menghijaukan pemandangan padang pasir sebelumnya. Pemandu kami turut membaca surah at Tin dengan suara yang lantang ketika melalui kawasan kebun-kebun zaitun ini. Dia turut menjelaskan hubungan buah tin dan zaitun dengan bumi Palestin.

Hati kami semakin berdebar-debar apabila melihat papan tanda ‘Madinah ar Rafah’ (Bandar Rafah) yang dinanti-nantikan. Suasana nampak tenang walaupun kehadiran ribuan pelarian Palestin bukanlah suasana yang disukai oleh pasukan keselamatan Mesir. Kami dikejutkan dengan tembok pemisah gergasi Israel yang memisahkan Rafah, Mesir dan Rafah, Gaza yang terbentang di hadapan mata kami. Selama ini kami hanya membacanya di dalam artikel-artikel penulisan Palestin di akhbar, makalah mahupun di laman sesawang mengenai isu Palestin.

Dengan penuh keazaman kami mencadangkan agar kenderaan yang kami naiki pergi lebih hampir ke tembok pemisah untuk tujuan dokumentasi tetapi pemandu kami tidak bersetuju kerana di atas langkah berjaga-jaga. Kelihatan beberapa orang tentera penjaga sempatan serius berdiri di pos tentera yang diletakkan pada setiap 400 meter sepanjang tembok pemisah tersebut. Dalam hati kami berkata bahawa betul juga keputusan pemandu tersebut…melainkan kalau kami nekad pergi  dan bersedia untuk tidak kembali semula ke Malaysia. Walaupun jarak 50 meter dari Palestin adalah satu jarak yang dekat namun hasrat kami yang bercita-cita untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin masih jauh apatah lagi dengan situasi yang tegang yang berpanjangan.

Pintu Masuk Rafah yang biasanya menjadi laluan orang-orang Palestin yang berurusan di Rafah, Mesir telah ditutup sejak beberapa minggu yang lalu. Ribuan pelarian yang ada di Arish dan Rafah, Mesir terpaksa bersabar menunggu peluang untuk pulang ke Palestin. Manakala ramai di kalangan mereka yang berada di Rafah, Gaza terpaksa menelan keperitan menunggu ubat-ubatan serta makanan yang disekat sejak lebih setahun yang lalu.

Perjalanan diteruskan menghala ke pantai Rafah. Kami sempat singgah melihat bekas pusat peranginan elit yahudi yang telah diruntuhkan oleh Isreal sebelum mereka berundur dari kawasan tersebut selepas perjanjian Kem David. Kawasan yang terletak kira-kira 2 km dari pantai adalah pusat percutian untuk tokoh-tokoh Yahudi yang canggih yang turut dilengkapi oleh terowong bawah tanah sehingga ke kawasan pantai. Terowong rahsia ini telah dibina diatas tujuan ’keselamatan’ untuk pembesar-pembesar Yahudi ini melarikan diri sekiranya berlaku sebarang ancaman terhadap keselamatan mereka.

Di Pantai Rafah, kami berkesempatan melihat sebuah tugu peringatan yahudi yang berbentuk peta negara Palestin. Ianya dibina bagi memperingati kematian 10 orang tentera Israel yang mati lemas apabila pesawat mereka terhempat dalam peperangan 6 hari pada tahun 1967 di pantai tersebut. Mereka inginkan agar generasi akan datang Israel memperingati perjuangan tentera sebelumnya yang seolah-olah syahid dalam memperjuangan matlamat untuk membina negara ’Israel Raya’. Mereka secara sengaja turut meletakkan sejumlah besar wang negara Yahudi di bawah tugu tersebut bagi menguatkan bukti sejarah di masa akan datang bahawa bumi Sinai adalah bumi milik Yahudi dengan penjumpaan arkeologi yang akan dilakukan di masa depan.

Ternyata lawatan beberapa hari ke Rafah dan Pekan El Arish adalah terlalu singkat untuk menyingkapi permasalahan terkini di antara Palestin dan Israel. Namun kami terpaksa meneruskan perjalanan ke Kaherah semula untuk melawat banyak lagi tempat bersejarah yang berhubungkait dengan permasalahan Palestin seperti Kubu Solahuddin dan sebaginya. Selamat tinggal Rafah….insya Allah, kami akan datang lagi.

Catatan perjalanan.

Zainur Rashid Zainuddin

Julai 2007

 

Ikuti catatan perkongsian di Telegram, Blog & Facebook

  • Telegram : t.me/zainurrashid
  • Blog : zainurrashid.com
  • Facebook : fb.me/ProfDrZainurRashid
Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close