Palestin

Pegangan Islam Polis Gaza

Ketika pulang berjalan kaki ke hotel penginapan daripada pasar ikan dan pelabuhan di Gaza, kami terserempak sekali lagi dengan sekumpulan pemuda yang sedang membuat pecutan terakhir latihan fizikal harian mereka.

Mereka adalah pelatih atau kadet Polis Gaza yang sedang menjalani latihan harian mereka di setiap pagi. Mereka telah dilatih dengan kebiasaan bangunΒ awal sebelum subuh bagi membuat persiapan diri dan bersolat tahajud sebelum pergi ke masjid untuk bersolat subuh secara berjamaah.

Mereka kemudiannya akan membaca atau menghafal al Qur’an disamping menyempurnakan bacaan maathurat sebelum turun menjalani latihan fizikan yang agak intensif.

Ketika berselisih di tepi jalan kali ini, mereka kelihatan masih lagi bertenaga dan berlari dengan penuh bersemangat dengan laungan kalimah jihad dan perjuangan walau pun larian mereka pada pagi tersebut telah pun melebihi 12 km jaraknya.

Selanjutnya mereka akan didedahkan dengan pendidikan kepolisan dan strategi keselamatan negara serta perkembangan terkini Timur Tengah dan dunia antarabangsa di dalam rutin latihan mereka.

Daripada pemerhatian ringkas ini, saya mendapati bahawa mereka sebenarnya adalah satu generasi kadet polis yang telah dididik dengan sistem pendidikan kepolisan Islam yang sangat unik. Mereka kuat dan berdisiplin serta berfikir seumpama seorang pejuang atau seorang pemimpin yang diberikan amanah.

Saya belum pernah melihat sistem ini dilaksanakan di mana-mana negara di dunia umat Islam kini. Sehingga hari ini, sebarang pelawat yang memasuki Gaza akan dapat memerhatikan keunikan generasi polis atau pasukan keselamatan di Gaza.

Sebagaimana yang telah saya kongsikan dalam entri sebelum ini bahawa ada beberapa perkara unik yang dimiliki oleh Polis Gaza secara menyeluruh :

1-Mendahulukan salam
2-Mudah senyum
3-Ringan tulang untuk membantu
4-Menjaga solat berjamaah
5-Teladan yang baik

Juga, saya tidak pernah melihat seorang pun di kalangan Polis di Gaza yang merokok.

Lebih unik lagi apabila anda akan merasakan kehangatan ‘ukhuwah’ Polis Mesra Ummah Gaza seolah-olah anda berdakapan dengan sahabat anda di dalam ‘bulatan gembira’ atau ‘bulatan juang’.

Tentunya mereka adalah generasi polis model yang sangat cemerlang khususnya buat pasukan Polis Diraja Malaysia, juga Polis Mesir, Polis Arab Saudi, Polis Pakistan dan lain-lain lagi….

MK-8 AP ke Gaza, 15hb April 2012

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button