Palestin

Kampung Mughraqah dan Harga Diri

Misi Kemanusiaan ke Gaza

Mughraqah adalah istilah bahasa Arab yang bermaksud ‘yang tenggelam’. Perkampungan Mughraqah merupakan perkampungan yang paling miskin di Semenanjung Gaza.

Perkampungan ini dinamakan ini sebagai Mughraqah adalah disebabkan kawasan ini kerap dilanda banjir dan berada di kawasan yang paling rendah di Gaza.

Namun begitu, kawasan ini tenggelam bukanlah kerana limpahan air hujan yang lebat sebagaimana kawasan-kawasan banjir yang lain seperti di Malaysia.

Kawasan ini kerap berlaku banjir yang disengajakan oleh angkara kedajalan Zionis Israel. Rejim Zionis dengan sengaja akan membuka empangan air dan menyebabkan aliran air yang banyak dan deras tersebut memenuhi perkampungan mereka dengan sekelip mata.

Banjir kilat yang telah memusnahkan harta benda mereka yang sememangnya hanya sehelai sepinggang di perkampungan Mughraqah beberapa kali sebelum ini.

Foto ini melakar sebahagian daripada suasana sebenar penginapan mereka di sini. Mereka tinggal di dalam khemah-khemah yang dibuat daripada pelbagai bahan-bahan buangan dan kemudian diletakkan batu atau tayar sebagai pemberat di atas khemas supaya tidak diterbangkan oleh tiupan angin.

Hidup seharian mereka begitu dhaif sekali tanpa bekalan air bersih, tanpa bekalan elektrik dan apatah untuk memiliki sistem kumbahan yang baik. Isu sampah sarap dan bau busuk, isu penyakit berjangkit, isu bekalan makanan dan minuman yang cukup serta pelbagai isu kemanusiaan yang lain tentunya berada jauh daripada tahap yang sederhana baik, apatah lagi untuk berada di tahap yang memuaskan.
Walaupun kehidupan mereka jelas dhaif dan susah, anak-anak mereka ini tidak pernah meminta-minta daripada mana-mana orang lain termasuk ketika dilawati oleh delegasi kemanusiaan daripada Malaysia.

Ustaz Mejar Nadzri (Sekarang Lt Kol), seorang Pegawai Undang-undang ATM (yang merupakan ‘sparring partner’ saya dalam isu Palestin) yang telah turut serta bersama misi ke Gaza kali ini telah mendekati kanak-kanak dari keluarga yang miskin ini. Khemah yang dhaif dibelakangnya adalah rumahnya manakala lelaki yang berdiri di belakang mereka itu adalah ayah kanak-kanak tersebut.

Aman Palestin Malaysia telah menyumbangkan kambing-kambing (yang telah didermakan oleh rakyat Malaysia) kepada keluarga-keluarga miskin di sini untuk diternak dan kemudiannya dijual apabila cukup tempohnya dengan harapan penduduk Kampung Mughraqah yang miskin ini mempunyai sandaran untuk meneruskan kehidupan yang jelas kelihatan susah dan perit.

Di kampung Mughraqah sebagaimana perjalanan ke kawasan-kawasan yang lain di Gaza kali ini, kami kerap bertemu dengan ramai kanak-kanak miskin tetapi mereka langsung tidak meminta sedekah daripada sesiapa yang dijumpai termasuk daripada aktivis kemanusiaan dari luar Negara.

Mereka sebenarnya amat menjaga maruah mereka malah apabila seorang kanak-kanak perempuan mendekati salah seorang ahli rombongan dan meminta duit daripadanya, kanak-kanak tersebut dimarahi oleh ayahnya dengan menyatakan ia perbuatan yang aib (memalukan) dan perihal ini ternyata bahawa ianya sangat berbeza dengan kanak-kanak di negara jirannya iaitu Mesir.

Juga sangat berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak di Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan negara-negara umat Islam yang lain serta ribuan lagi peminta sedeqah di kalangan anak-anak remaja di Mekah dan di Madinah.

Ya, meminta sedeqah adalah sesuatu yang ‘aib’ di Semenanjung Gaza. Ahli keluarga dan ahli masyarakat tidak akan dibiarkan berbuat demikian walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa di dalam dompet mereka buat sekelian lamanya. Mereka mungkin miskin harta tetapi mereka sangat kaya dengan ‘harga diri’.

MK-8 AP ke Gaza, 18hb April 2012

 

 

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close