Palestin

Israel takut dengan bom-bom kami….

Misi Kemanusiaan Aman Palesn ke Gaza

Sebelum keluar daripada Gaza, saya telah diberi peringatan supaya bersabar dengan kepayahan ketika mahu keluar ke Mesir daripada Gaza melalui Rafah Gate. Perjalanan keluar mungkin sama susahnya ketika proses untuk masuk ke Gaza.

Dalam perjalanan keluar tersebut, saya perlu melalui 2 pusat kawalan di Rafah Gate. Sebagaimana kebanyakan penduduk Palestin atau pun pelawat luar lain, saya tidak berhadapan dengan kesukaran di pusat kawalan pertama kerana pasukan keselamatan Palestin sangat mesra pelanggan dan akan sedia membantu sesiapa sahaja.

Namun sebaliknya apabila berhadapan dengan pasukan keselamatan Mesir yang memang akan menyebabkan proses keluar masuk Gaza sukar secara sengaja.

Daripada pusat kawalan pertama di Rafah Gate, saya perlu menaiki sebuah bas sebagaimana penumpang yang lain ke pusat kawalan yang ke 2 yang dikuasai oleh pasukan keselamatan Mesir. Jaraknya hanyalah kira-kira 100 meter dan perjalanan bas mungkin hanya mengambil masa 5 minit. Namun saya berpeluh dan agak gelisah kerana dipaksa menunggu di dalam bas ini selama 3 jam tanpa diberitahu sebab-sebabnya oleh pasukan keselamatan Mesir.

Di dalam bas inilah saya telah berkenalan dengan pemandu bas tersebut dan dengan seorang lagi penumpang. Mereka berdua adalah penduduk Gaza yang nampaknya telah biasa dengan kesangsaraan yang disengajakan oleh kepungan regim Israel dan kekasaran pasukan keselamatan Mesir kepada wilayah gaza dan para penduduknya.

Tuan Haji Khalil M.Madi (kiri dan berserban) adalah bekas seorang peniaga di Gaza. Beliau berumur 60 tahun dan mempunyai 12 orang anak serta puluhan cucu.

Tuan Hamdan Ahmad (kanan dan berkupiah putih) adalah pemandu bas tersebut. Beliau berumur 54 tahun dan mempunyai 11 orang anak serta puluhan cucu.

Apabila ditanya kepada mereka berdua tentang kenapa penduduk Palestin mempunyai anak-anak yang ramai, kedua-duanya tersenyum dan mengatakan bahawa jumlah 11 atau 12 itu adalah jumlah yang normal buat sebuah keluarga di Gaza.

Apa tidaknya, mereka terpaksa berhadapan dengan regim Zionis yang bercita-cita menjadikan Palestin sebagai “Arab-free-zone”. Zionis berusaha menghapuskan kependudukan rakyat Palestin melalui pengecutan saiz demografi.

Ramai rakyat Palestin dibunuh syahid atau diusir keluar daripada Palestin yang asal, juga diusir daripada Baitul Maqdis dan Gaza. Rumah-rumah mereka dirobohkan, warganegara mereka dilucutkan dan pelbagai teknik yang lain dilakukan agar mereka meninggalkan bumi Palestin.

Pelbagai usaha telah berjaya dilakukan untuk mengusir rakyat Palestin keluar menjadi pelarian sehingga jumlah orang-orang Israel jauh melebihi jumlah rakyat Palestin yang tinggal di Gaza, Tebing Barat dan di Israel (Palestin-1948). Namun begitu, dengan strategi masyarakat Palestin secara umumnya mempunyai keluarga yang besar dengan jumlah purata anak di antara 10-12 orang, maka kini jumlah penduduk Palestin telah melebihi jumlah orang Israel. Jumlah majoriti ini juga dijangka akan terus meningkat dengan kadar pertumbuhan keluarga Israel yang kekal rendah.

Jumlah anak-anak yang ramai inilah yang dikatakan sebagai ‘bom demografi’ dan Israel sangat takut dengan bom-bom kami….!

Zainur Rashid Zainuddin

MK-8 AP ke Gaza. 18hb April 2012, Rafah Gaza.

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button