Palestin

Intifadah Yang Diberkati

Istilah intifadah bukanlah satu perkataan yang terlalu asing bagi sebahagian rakyat Malaysia apatah lagi buat mereka yang prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.

Intifadah bermaksud kebangkitan atau ‘uprising’. Manakala Intifadah Palestin merujuk kepada kebangkitan semula rakyat Palestin dalam rangka menentang penindasan dan penjajahan yang dilakukan oleh rejim ganas Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal penduduk Negara tersebut. Tarikh 9hb Disember 1987 adalah tarikh bermulanya Intifadah Palestin yang cukup bermakna terhadap mereka semua samada yang tinggal di Palestin mahupun di kalangan mereka yang terpaksa menjadi pelarian di negara-negara yang lain.

Sebab-sebab Intifadah

Penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Banyak dan jelas sebab-sebab mereka bangkit menentang kezaliman yahudi Zionis. Diantara sebab-sebab Intifadah Palestin termasuklah:

  1. Polisi zalim rejim Zionis yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, melakukan penangkapan dan pengusiran orang-orang Palestin yang tidak bersalah dari bumi Palestin serta tindakan mereka memperluaskan kawasan pendatang haram Yahudi
  2. Peningkatan serangan ke atas Masjid al-Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian qiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka MengYahudikan Baitul Maqdis.
  3. Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan.
  4. Rakyat Palestin merasa begitu terdesak dan tidak lagi meletakkan harapan kepada usaha dan perjanjian damai yang diatur oleh negara-negara Arab. Bahkan mereka merasakan betapa perlu nya mereka membuat inisiatif sendiri tanpa mengharapkan orang lain membuat sesuatu untuk mereka.
  5. Kesedaran Islam yang semakin menular ke dalam jiwa dan kehidupan mereka meyebabkan terbentuknya semangat berjuang di kalangan rakyat Palestin.

Sebab-sebab yang disenaraikan di atas adalah sebahagian daripada penyebab lahirnya Intifadah Palestin. Apa yang menjadi pencetusnya ialah satu peristiwa yang berlaku pada 8hb Disember 1987, apabila pemandu sebuah trak Yahudi dengan secara sengaja telah melanggar 2 buah kereta dari belakang. Kejadian ini telah mengakibatkan kematian empat orang rakyat Palestin yang menaiki kereta tersebut dan  tujuh lagi rakan mereka yang menaiki kenderaan tersebut cedera parah.

Secara relatifnya, kejadian ini bukanlah kejadian yang besar jika dibandingkan dengan siri keganasan yang bersifat kebinatangan yang dilakukan oleh puak Yahudi Zionis ini. Namun peristiwa ini telah memangkinkan semangat dan daya juang rakyat Palestin demi pembebasan Negara Palestin yang berdaulat.

Objektif Intifadah

Di awal pagi 9hb Disember 1987, Intifadah bermula selepas solat subuh dengan kehadiran ribuan rakyat Palestin yang bangkit untuk mengembalikan hak dan maruah mereka yang telah dirampas oleh pendatang Yahudi Zionis. Senjata tunggal yang digunakan mereka untuk menentang kecanggihan dan kekuatan rejim Zionis hanyalah dengan batu-batu di jalanan. Kanak-kanak, remaja dan para pemuda bangkit dengan penuh keberanian untuk berhadapan dengan kereta-kereta kebal Israel. Intifadah telah menghilangkan rasa takut dan rendah diri di kalangan mereka malahan telah membawa perubahan baru yang sangat bermakna buat mereka semua

Di antara objektif utama Intifadah ialah untuk :

  • Membangkitkan semangat dan memperkuatkan keyakinan mereka terhadap keadilan Allah dan kekuatan Islam
  • Membuang rasa putus harapan dalam berhadapan dengan penjajahan musuh
  • Menggoyah rasa ego Israel serta mengoncang psikologi mereka
  • Menyekat kekuasaan ekonomi Israel dan mengurangkan penghijrahan Yahudi sedunia ke Palestin
  • Membangkitkan kesedaran umat yang telah layu bahawa isu Palestin adalah isu aqidah kepada orang-orang Palestin, orang-orang Arab, dan umat Islam di seluruh dunia.
  • Memantapkan identiti Islam di kalangan orang Palestin dan menyuntik semangat perjuangan di atas dasar yang mulia.

Tindak-balas Israel

Rejim Israel bingkas bertindak berhadapan dengan para remaja yang bersenjatakan batu-batu jalanan ini dengan tindakan ganas menangkap atau menembak mereka secara membabi-buta. Gambaran ini dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen antarabangsa yang telah menimbulkan kecaman antarabangsa kepada Israel. Namun mereka terus memekakkan telinga  terhadap kritikan yang diberikan kepada mereka. Amerika sendiri meminta Israel menggunakan cara selain daripada menembak para remaja yang tidak bersenjata ini. Namun Yitzhak Rabin, yang merupakan menteri pertahanan Israel pada ketika itu telah mengumumkan kaedah baru bagi mematikan Intifadah iaitu dengan mematahkan tulang-tulang para remaja dan pemuda Palestin yang ditangkap.

Rejim Israel terus mengganas dengan merobohkan rumah-rumah rakyat Palestin, memperluaskan kawasan pendatang Yahudi serta memperluaskan penangkapan dan pemenjaraan terhadap rakyat Palestin. Dalam masa setahun pertama sahaja, seramai lebih 400 rakyat palestin terbunuh, 20 000 tercedera, 3 400 telah cacat secara kekal  dan seramai lebih 23 000 orang telah ditangkap.

Walaupun siksaan dan penangkapan secara tersusun dilakukan oleh regim Zionis, namun ia tidak mematahkan semangat juang rakyat Palestin yang rata-rata bersemangat untuk menuntut hak dan keadilan kemanusiaan yang telahpun lama luput di dalam diari kehidupan mereka. 

Kesan Intifadah

Menurut Dr Mohsein Soleh, Pengarah Institut Zaytouna yang berpangkalan di Beirut menyatakan bahawa rakyat Palestin terpaksa membayar dengar harga yang terlalu mahal dengan berlakunya Intifadah tetapi fasa yang berlalu juga turut digunakan untuk membersihkan masyarakat Palestin daripada penyakit-penyakit  sosial yang  turut menyerang masyarakat mereka.  Semakin ramai di kalangan masyarakat awam mereka menginsafi situasi sebenar yang menimpa mereka dan kini gigih bekerja demi survival umat serta kedaulatan bumi Palestin.

Intifadah juga turut membuka tembelang Israel di pentas dunia apabila mereka selama ini  sentiasa mencanang dakwaan bahawa Israel adalah oasis demokrasi di timur tengah. Dunia antarabangsa dipersembahkan dengan sikap sebenar kuasa kolonial Israel yang dibina di atas penindasan dan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin. Isu Palestin yang pernah sejuk buat seketika dulu kembali hangat diketengahkan di dalam forum politik global.

Orang-orang Palestin turut mengambil kesempatan demi menyusun kembali perekonomian mereka dalam menghadapi perjuangan yang berpanjangan. Produk Israel yang membanjiri pasaran mereka telah diboikot dan digantikan dengan produk alternatif mereka yang turut membina peluang-peluang pekerjaan yang baru. Ini adalah satu agenda yang besar kerana sebelum ini seramai kira-kira 39 peratus daripada tenaga buruh Palestin telah bekerja sebagai pekerja buruh harian di ‘Israel’. Peratusan ini menurun dengan drastik apabila hanya kira-kira 12.3 peratus di kalangan tenaga buruh harian ini yang masih terpaksa bekerja sebagai buruh Israel.

Secara umumnya, ekonomi Israel juga  goyah  dengan Intifadah yang berpanjangan. Lebih 4000 supermarket mereka telah ditutup. Kadar  kedatangan dan  aktiviti pelancongan di Israel turut merudum kesan dari kebangkitan generasi muda Palestin.

Buat kali pertamanya, Israel merasakan bahawa mereka telah hilang rasa keselamatan dan semakin ramai daripada pendatang Yahudi melarikan diri mereka kembali ke negara asal mereka di Rusia, Poland, Amerika Syarikat dan lain-lain. Sebagai contohnya, di antara tahun 1989-2000 sahaja, lebih sejuta yahudi Rusia telah berhijrah ke Palestin. Namun kesan dari Intifadah, kadar penghijrahan berkurangan dan lebih daripada 700 000 orang Yahudi telah melarikan diri dari Palestin. Berita ini tidak diumumkan di media antarabangsa  kerana ianya hanya akan menjatuhkan maruah mereka.

Rejim Zionis Israel mendapati bahawa mereka tidak boleh mengawal  keadaan rakyat Palestin dan terpaksa membuat berbagai pendekatan yang keras mahupun berkompromi untuk berhadapan dengan Intifadah. Mereka menggunakan pelbagai strategi terutamanya dengan mempengaruhi  sekutu kuat mereka iaitu Amerika Syarikat untuk menangai permasalahan yang terus berpanjangan. Walaupun puluhan malahan ratusan resolusi telah dikeluarkan oleh PBB bagi menangani hak-hak rakyat dan pelarian Palestin, namun rejim Yahudi Zionis tidak pernah serius untuk melaksanakannya.

Tiga dekad Intifadah

9hb Disember 1987 adalah tarikh yang begitu bermakna buat rakyat Palestin khususnya apabila mereka menerima suntikan kebangkitan demi survival umat dan kemuliaan Masjid al-Aqsa serta bumi Palestin yang telah dijajah sejak 72 tahun yang lalu. Setelah lebih 3 dekad Intifadah berlaku, dunia antarabangsa terus menyaksikan bahawa bangsa dan negara yang bernama Palestin ini terus diganyang Yahudi Zionis buat sekian lamanya.

Bumi Palestin adalah tanah yang mulia kerana di situlah letaknya Masjid al-Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mi’raj, Tanah Suci umat Islam yang ke-3 dan  juga merupakan bumi para Nabi. Isu Palestin bukanlah sekadar isu orang-orang Palestin atau orang-orang Arab sahaja. Bahkan isu ini adalah isu penting untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

Bagaimanakah sikap kita sebagai Muslim yang prihatin terhadap isu sejagat ini? Adakah  cukup untuk kita menitiskan air mata kesedihan mahupun menggigit jari tanda putus harapan? Ataupun kita hanya sekadar meletakkan pengharapan sambil menantikan kelahiran Solahuddin yang baru?

 

Salam perjuangan

Zainur Rashid Zainuddin

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button