Palestin

Generasi Unik Muncul Kembali….

Misi Kemanusiaan Aman Palestin ke Gaza

Sekiranya anda berpeluang untuk ke Gaza, anda mesti mencuba untuk menziarahi seorang tokoh yang tersohor di sana yang bernama Prof Dr Abdul Rahman Bin Jamal (berjubah putih).

Beliau adalah seorang ‘alim di dalam bidang al Qur’an dan Hadith yang telah mengasaskan Institut Darul Qur’an dan Sunnah, sebuah institusi yang berjaya melahirkan semula satu generasi manusia yang unik.

Beliau mendapat pendidikan awalnya di Palestin sebelum melanjutkan pelajaran di Madinah dengan ijazah PhD di dalam bidang Qira’at.

Beliau memulakan kelas Tahfiz al Qur’an yang pertama pada tahun 1992 dengan seramai 7 pelajar lelaki dan 7 orang pelajar perempuan.

Beliau yang berusia 30 tahun pada ketika itu terus berusaha gigih mendidik generasi anak-anak dan juga dewasa selain daripada membina generasi para pendidik yang menghafaz al Qur’an dan hadith dan melaksanakan kehidupan mereka berteraskan al Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw.

Kegigihan luar biasanya semakin membuahkan hasil apabila projek pembinaan generasi al Qur’an ini terus mendapat sambutan dari seluruh pelusuk wilayah Gaza.

Bermula dengan sebuah pusat tahfiz dengan 14 orang murid, kini institusi telah mempunyai 720 cawangan di seluruh Gaza dan pelajar seramai 22,000 orang.

Pelajar-pelajar yang bersekolah rendah atau menengah boleh mempelajari tahfiz al Qur’an secara separuh masa dengan menghadirkan diri ke pusat tahfiz selama 2 jam pada setiap sehari masa.

Subhanallah, ribuan di kalangan anak-anak remaja yang bersih hatinya ini telah menghafaz al Quran dalam tempoh 2-4 tahun menjelang berumur 11 atau 12 tahun setelah mempelajarinya secara separuh masa (part time).

Kalau Institut Tahfiz Daul Qur’an, JAKIM di Kuala Kubu Baru boleh melahirkan ratusan huffaz dalam tempoh 18 bulan (persijilan) dan 3 tahun (diploma), maka Darul Qur’an dan Sunnah Gaza telah mencipta satu keajaiban apabila mereka telah berjaya melahirkan 400 huffaz baru dalam Kursus Intensif Tahfiz Quran Musim Panas tahun 2007 dalam tempoh 60 hari.

Keajaiban ini terus dicipta apabila mereka berjaya melahirkan 3,000 huffaz baru dalam kursus yang sama pada tahun 2008.

Subhanallah… saya berkesempatan menemuramah beberapa orang produk generasi ini. Apa tidaknya, ramai di kalangan anak-anak yang bersih hatinya dan dunia mereka pula tidak dipenuhi dengan sampah sarap berjaya manghafaz 10 muka surat al Qur’an setiap hari di kala mengikuti kursus tahfiz ini musim percutian sekolahnya.

Satu FENOMENA baru yang belum kelihatan di mana-mana wilayah di dunia yang mempunyai huffaz yang yang begitu ramai yang melaksanakan kehidupan berdasarkan al Qur’an dan Sunnah walau pun mereka adalah guru-guru, jurutera, doktor, polis, tentera, penjual ikan, penanam sayur dan sebagainya.

Tidakkah anda tahu bahawa Ismail Haniyya, Perdana Menteri Palestin yang juga adalah seorang mantan Dekan, Islamic University Gaza yang juga merupakan seorang hafiz….?

Mungkin dunia antarabangsa meragui atau memperlekehkan kemampuan Gaza dan Palestin bagi mendepani kecanggihan dan keangkuhan regim Zionis Israel, namun generasi baru al Qur’an yang unik ini amat meyakini bahawa mereka akan berjaya mendapatkan membebaskan kembali Baitul Maqdis dalam tempoh 15 tahun yang akan datang…..!

Subhanallah, alhamdulillah, Allah akbar….!

MK-8 AP ke Gaza, 17hb April 2012

Darul Qur’an wal Sunnah, Gaza

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close