Detik yang memilukan….

Misi Kemanusiaan ke Gaza

Tidak akan dilupakan…
Anak kecil ini yang berumur 5 tahun ini adalah merupakan seorang daripada kira-kira 500 orang anak yatim yang ditaja oleh rakyat Malaysia melalui Aman Palestin. Dalam sejumlah anak-anak yatim yang sempat saya temui, beliau adalah anakanda Gaza yang sangat istimewa.

Beliau dilahirkan di dalam keluarga pejuang Palestin sehinggakan sejak lahir lagi beliau telah diberikan nama sebagai ‘Hamas’ oleh ayahnya. Beliau tidak cukup besar untuk mengingati wajah ayahnya yang merupakan pejuang al Qassam yang gugur syahid ketika berumur setahun pada 2007.

Anakanda Hamas bercita-cita untuk menjadi seorang doktor bagi memberikan sokongan kepada pelapis perjuangan kepada ayahnya yang telah syahid terlebih dahulu. Anakanda Hamas kini terus diibesarkan bersama abangnya Mohammad yang berumur 8 tahun di dalam keadaan yang perit tetapi mereka tetap mempunyai jiwa hebat dan besar.

Sebelum berpisah, saya menghadiahkan sedikit hadiah daripada anakanda saya Zahra, Zaid, Nuha, Wafa, Widad dan Nukman buat anakanda Hamas dan Mohamad.

Di penghujung pertemuan, kami berpelukan erat tanpa menyedari bahawa deretan air mata panas mengalir deras di saat perpisahan yang cukup mengesani hati insani ini.

Didoakan agar anakanda Hamas terus tabah dan bersabar dengan kehidupan yang mencabar ini. Semoga kita akan bertemu lagi di lain kesempatan dengan keizinan Pemilik hati-hati manusia ini.

MK-8 AP ke Gaza, 15hb April 2012