Bertuahnya mereka….

Misi Kemanusian ke Gaza

Kita mungkin menyangka bahawa anak-anak ini tidak bernasib baik kerana hidup di dalam keadaan susah dan kesempitan. Mereka juga mungkin agak ketinggalan di dalam perkembangan teknologi terkini. Mereka juga tidak berpeluang hidup bebas dan mewah seumpama anak-anak sebayanya di bumi Malaysia dan negara-negara yang lain.

Namun di satu sudut yang lain, mereka adalah anak-anak yang sangat bertuah dan beruntung. Hati mereka tidak dipenuhi dengan sampah sarap di sana sini. Sekatan dan kepayahan yang dialami mematangkan mereka seumpama manusia dewasa di negara-negara yang lain. Suasana sekeliling mendidik mereka mengenal apa erti kemuliaan hidup dan apa nilai perjuangan di dalam kehidupan.

Di sebelah pagi mereka ke sekolah rendah berjalan kaki tanpa bekalan makanan untuk menimba ilmu pengetahuan dan mempelajari persiapan kehidupan. Di sesi petangnya mereka mempelajari dan menghafaz ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Rasulullah saw.

Mereka dididik dengan menjalani kehidupan yang berdasarkan al Qur’an dan hadith serta mengejar kemuliaan hidup dengannya secara praktikal. Solat berjamaah dan hidup berjuang adalah tunjang amali pelajaran mereka.

Dengan rasa rendah diri, seorang mahasitua melabuhkan punggung untuk bergambar kenang-kenangan bersama anak-anak remaja yang berumur 7-12 tahun yang sedang menuntut di Institut Darul Qur’an dan Sunnah di Gaza. Di masa 2 jam sehari di sepanjang tempoh 2-3 tahun, mereka dijangka akan dapat menghafaz 30 juzuk al Qur’an dan sekuang-kurangnya 500 hadith pilihan.

Dengan hati mereka yang bersih, para pendidik yang iltizam dan ikhlas, para ibu-bapa yang membantu dan mendoakan serta suasana sekeliling yang mendidik, maka kebanyakan mereka berjaya merealisasikan projek pembinaan generasi al Qur’an ini.

Merekalah sebenarnya yang lebih bertuah dan jauh lebih beruntung !

Saya harus lebih mengasihani diri saya sendiri, diri anak-anak saya serta generasi anak-anak muda sebangsa dan seagama di Tanah Air yang lebih amat dahagakan kehidupan yang bersandarkan kemuliaan al Qur’an dan Sunnah Rasulullah saw….

Zainur Rashid Zainuddin

MK-8 AP ke Gaza, 17hb April 2012