Hagia Sofya – Simbol Jalan Kemenangan Yang Panjang,

Dalam perjalanan pulang dari subuh berjamaah di masjid pagi ini (11 Julai 2020), saya berkongsikan kepada 2 orang anak lelaki saya, tentang satu berita gembira buat umat Islam di Turki dan di dunia antarabangsa.

Apa tidaknya, perjuangan untuk mendapatkan kembali status HAGIA SOFYA sebagai sebuah masjid ini sahaja telah mengambil masa yang panjang dan perjalanannya pun berliku. HAGIA SOFYA dijadikan masjid selepas kota Konstantinopal dibuka oleh Sultan Muhammad al Fateh pada 1453 dan sah berdasarkan undang-undang di zaman tersebut.

Hagia Sofya telah diimarahkan sebagai sebuah masjid selama ratusan tahun di zaman Uthmaniyyah sehingga Khalifah jatuh dan Mustafa Kemal Ataturk mengubahnya menjadi sebuah muzium pada 27 November 1934 (hampir 86 tahun).

Hasil usaha Presiden Erdogan dan pasukannya, Mahkamah Tinggi Turki baru-baru ini memutuskan bahawa status Hagia Sofya sebagai muzium pada 1934 telah terbatal, dan akan dibenarkan digunakan sebagai sebuah masjid 15 hari selepas keputusan diputuskan pada 10 Julai 2020 (1).

Turki berhadapan kritikan global

Ramai pemimpin negara Barat terutamanya Russia, Amerika Syarikat dan European Union  yang mengkritik Erdogan, Presiden Turki atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan status Hagia Sofya sebagai sebuah muzium. Erdogan bertegas menyatakan bahawa Hagia Sofya adalah isu dalaman Turki dan ia adalah sah mengikut perundangan, dahulu dan kini (2).

Biar pun Hagia Sofya berubah statusnya kembali menjadi masjid, ia akan kekal sebagai bangunan bersejarah yang boleh dilawati oleh semua pelawat Muslim dan non-Muslim dari dalam dan luar negara.

Bagi masyarakat Turki dan umat Islam antarabangsa, perubahan status Hagia Sofya ini memberikan makna yang sangat besar bagi memertabatkan kembali kegemilangan Islam di peringkat global sebagaimana di zaman Uthmaniyah.

Simbol Kegemilangan Kota Islam

Secara simbolik, ia akan mengubah status Istanbul daripada ibu kota yang sekular kepada sebuah ibu kota yang ‘Islamik’ sebagaimana nama asal kota ini iaitu ‘ISLAMBOL’.

Ini hanyalah permulaan kepada sebuah perjalanan ke arah kemenangan umat di dunia antarabangsa yang ternyata panjang lagi berliku.

Protes Sang Hipokrit !

UNESCO, Russia, AS, European Union termasuk Greece membantah keputusan Mahkamah Tinggi Turki yang telah menukar status HAGIA SOFYA daripada sebuah muzium kepada masjid secara rasmi pada 10 Julai 2020 (3,4,5).

 Mari kita telusuri semula beberapa fakta :

  • Kota Konstantinopal telah dijajah secara keseluruhannya oleh pemimpin umat Islam Sultan Muhammad al Fateh pada 1453 Masihi lagi (6).
  • Hagia Sofya menjadi milik Sultan Muhamad al Fateh dan kerajaannya secara sah mengikut undang-undang di zamannya.
  • Dalam sejarah yang sangat panjang, Hagia Sofya telah berfungsi dan diimarahkan sebagai masjid selama hampir 500 tahun (5 abad).
  • Kemal Ataturk yang mengetuai gerakan sekular dan liberal yang ditaja Barat telah berjaya menjatuhkan Daulah Uthmaniyah dan mengubah Turki menjadi sebuah negara sekular dan menjadikan Istanbul sebagai simbol kota sekular.
  • Ataturk bertindak agresif mengubah Turki yang berwajah Islam kepada sistem sekular Barat yang tebal dan menyeluruh. Hagia Sofya sendiri telah diubah daripada sebuah masjid menjadi sebuah muzium pada 27 Nov 1934 oleh Ataturk, Presiden Turki.
  • Sekular Kemalis begitu kuat mencengkam kehidupan rakyat dan system kenegaraan Turki untuk tempoh yang panjang. Beberapa cubaan untuk memertabatkan Islam di Turki telah dilakukan di antaranya oleh Perdana Menteri Turki, Adnan Menderes yang memegang tampuk utama di antara 1950-1960 tetapi usaha mulia ini telah membawa beliau ke tali gantung.
  • Cubaan selanjutnya telah dilakukan oleh oleh Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan yang menjawat jawatan PM pada 1996-1997 tetapi beliau telah dijatuhkan sebelum pengharaman dan pembubaran Parti Refah.
  • Erdogan, Perdana Menteri Turki 2003-2014 dan kini Presiden Turki sendiri telah dan sedang berdepan dengan jalan sukar sehingga melalui beberapa cubaan bunuh daripada Pegawai Kanan Tentera Turki menunjukkan betapa kuat dan pekatnya sekular dalam tentera dan sistem kenegaraan TURKI.
  • Dalam isu Hagia Sofya, majoriti rakyat Turki yang masih kuat semangat nasional dan Islamnya menyebelahi usaha yang dilakukan oleh Erdogan ini. Perubahan status Hagia Sofya adalah merupakan mutlak Turki yang dilakukan secara sah menurut undang-undang dan mendapat sokongan majoriti rakyat Turki secara keseluruhannya.

Hipokrasi pemimpin Barat dan sekutunya

Saya berpandangan bahawa pemimpin negara-negara Barat dan organisasi mereka termasuklah PBB dan UNESCO ternyata bersikap hipokrit dengan apa yang berlaku terhadap Hagia Sofya. Mereka maklum semua mengetahui fakta-fakta berkaitan kebenaran sejarah mengenai Hagia Sofya secara terperinci dan memahami bahawa status Hagia Sofya adalah hak mutlak Turki dan umat Islam sejagat. Cuba kita tanya mereka semula mengenai :

  • Apa pendirian seluruh negara Barat dan pemimpinnya mengenai sejarah yang panjang mengenai penjajahan Masjid al Aqsa oleh regim zionis Israel yang disokong kuasa besar dunia ?
  • Apa pendirian negara-negara Barat dengan kebobrokan regim zionis Israel yang telah menguasai lebih 1000 buah masjid di PALESTIN yang telah diubah menjadi sinagog Yahudi, menjadi muzium dan bar untuk minuman keras, bahkan ada yang diubah sehingga menjadi kandang lembu ?
  • Apa pendirian pemimpin Barat dengan banyak masjid termasuk Masjid Besar Cordova, Sepanyol yang ditukar menjadi gereja setelah mereka menawan Andalusia?
  • Apa pandangan pemimpin negara Barat dan organisasi sekutu mereka terhadap ratusan masjid yang dimusnahkan di Turkistan TIMUR (Xinjiang) setelah dijajah negara Komunis China ?
  • Apa pandangan negara Barat terhadap ribuan masjid yang telah dihancurkan di negara-negara umat Islam seperti Syria, Irak, Kashmir, Filipina dan banyak negara antarabangsa yang lain ?

Sesungguhnya perjalanan umat ini masih sangat panjang dan berliku dan bakal merentasi beberapa generasi. Marilah Bersama kita bangkit dan bersungguh-sungguhlah membuat persiapan yang terperinci serta sentiasa bernafas panjang sehingga agama dan umat ini Kembali menang dan gemilang.

Salam perjuangan

Zainur Rashid Zainuddin

 

Bacaan tambahan dan foto daripada :