Kemanusiaan

Insafi keperitan mereka

Bertabahlah Puan…

Hampir semua wad antenatal (ibu hamil) penuh sesak sehingga terpaksa menggunakan banyak ‘extension bed’ (Katil tambahan). Tugasan rondaan wad menjadi lebih lama daripada kebiasaan.

Seusai tugasan rondaan rutin, saya mendekati seorang ibu hamil yang kelihatan sugul dan perit sekali untuk menguntumkan senyuman.

Puan MB memberikan keizinan untuk saya kongsikan kisah beliau untuk tujuan pendidikan. Beliau dimasukkan ke hospital kerana bayi dalam kandungannya mengalami masalah pembesaran yang memerlukan pemantauan teliti.

Beliau sugul kerana teringatkan anak kecilnya yang berusia 3 tahun yang tidak mahu makan kerana ditinggalkan bersama suaminya di sebuah perkampungan orang Asli di kawasan pedalaman (2 jam naik motosikal melalui kebun dan hutan).

Suaminya bekerja kampung sebagai penoreh getah dengan pendapatan di antara RM 500-700 sebulan, untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga (4 Anak) dan seorang lagi bayi yang bakal lahir.

Secara purata, mereka hanya makan Nasi sehari sekali dengan ber’lauk’kan pucuk ubi. Kalau bernasib baik, suaminya akan membawa pulang ikan yang dipancingnya terutama di musim hujan. Apabila bekalan beras habis, mereka hanya makan pisang atau pun ubi rebus sebagai ganti untuk beberapa hari atau minggu.

Keperitan hidupnya begitu ketara, bahkan kesemua bayi yang dilahirkan sebelum ini hanya seberat 1.8-2.2 kg.

Apabila ditanya samada beliau pernah dikunjungi wakil agensi yang berkaitan bagi meringankan bebanannya, beliau hanya menggelengkan kepalanya.

Saya mengajak para pelajar saya, para jururawat dan doktor-doktor muda yang bersama saya untuk berfikir sejenak bagi menginsafi keperitan yang dihadapinya. Kami amat bersimpati dan berusaha untuk meringankan bebanan yang dihadapinya.

Semoga Puan MB terus tabah dalam mendepani kehidupannya yang begitu menguji ketabahan.

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close