Kemanusiaan

Doktor Malaysia berkhidmat di Gaza

Misi Perubatan Aman Palestin ke Gaza

PENJAJAHAN ke atas bumi Gaza di Palestin bagaikan sebuah episod drama perang yang tidak berkesudahan. Bunyi dentuman bom dan letusan senjata api sudah menjadi melodi yang terpaksa didengari penduduknya sejak beberapa dekad yang lalu. Peperangan demi peperangan yang berlaku di Palestin telah mengakibatkan krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat telah berlaku di Palestin terutamanya di Gaza.

Ia telah mendorong Aman Palestin untuk bekerjasama dengan I-Medik Malaysia untuk menghantar sukarelawan perubatan ke Gaza untuk menyumbang kepakarannya dalam bidang perubatan dan pembedahan. Misi tersebut dijayakan bersama oleh 6 pakar perubatan, 4 eksekutif Aman Palestin dan 7 orang pengamal media dari Malaysia.

Aman Palestin merupakan sebuah badan kemanusiaan yang telah mempelopori isu Palestin dan telah bergerak aktif melalui sokongan rakyat Malaysia.

Aman Palestin telah tampil dengan projek-projek kebajikan dan kemanusiaan yang dirancang dengan ujuan memberikan bantuan dan sokongan kepada rakyat Palestin. Sekatan, kezaliman dan tekanan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin menuntut kepada keadilan berdasarkan hak kemanusiaan dan keadilan sejagat.

Misi Perubatan ke Gaza Mac 2013

Misi kali ini adalah hasil daripada kerjasama di antara Aman Palestin, I-Medik Malaysia dan As Salama Charitable Society, Gaza bagi memenuhi keperluan perubatan dan pembedahan khusus yang sangat diperlukan oleh para pesakit dan mangsa perang di wilayah Gaza yang terkepung.

Keputusan yang dibuat bersama ini memutuskan untuk menghantar satu pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar bedah dari Malaysia untuk ke Gaza pada 26hb Mac-8hb April 2013.

 

Di antara objektif utama Misi Perubatan I-Medik Malaysia dan Aman Palestin kali ini adalah :

  1. Melakukan pembedahan elektif terutamanya kes-kes kecederaan akibat dari serangan Israel ke atas rakyat gaza pada peperangan 2008 dan 2012. Pembedahan juga merangkumi kes-kes yang kompleks yang berkaitan dengan adaptasi (rehabilitasi ) kehidupan selepas pembedahan dan rawatan penyakit-penyakit kronik yang lain.
  2. Mengadakan siri perbincangan ilmiah perubatan dan pembedahan dengan para pengamal perubatan di Gaza, Palestin dengan penumpuan khas kepada bidang pembedahan dan rehabilitasi. Misi juga bertujuan untuk melatih doktor-doktor muda di Gaza dengan perkembangan dan teknologi terkini perubatan.
  3. Mengendalikan kuliah dan aktiviti pendidikan di Fakulti Perubatan di Islamic University, Gaza. Kerjasama ini juga untuk meneroka kerjasama menghantar pelajar perubatan dan para doktor Palestin utk menjalani latihan kepakaran di Malaysia.

Sidang Media

Sidang Media sebelum ke Gaza

Pihak Aman Palestin dan I-Medik telah mengendalikan siding akhbar pada hari Jumaat, 22hb Mac 2013 dan telah disertai oleh ramai wartawan media perdana termasuklah daripada Utusan, Berita Harian, Sinar Harian dan TV 7.

Peserta Misi Perubatan ke Gaza 2013

Peserta sukarelawan misi khas kali ini terdiri daripada doktor-doktor pakar dalam bidang pakar bedah ortopaedik, pembedahan tangan (hand-surgery) dan pakar bedah urologi.

Ia telah diketuai oleh Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, Perunding Aman Palestin yang juga merupakan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dan Naib Presiden I-Medik Malaysia.

Barisan Pakar Perunding Pembedahan termasuklah :

  • Dr Mohamad Nor Sundari, Pakar Perunding Ortopedik & Traumatologi dari Pusat Perubatan Kuantan (KMC), Beliau yang merupakan Timbalan Presiden I-Medik telah diamanahkan sebagai Naib Ketua Misi Perubatan ke Gaza kali ini.
  • Dr Md Mahir Abdullah, Pakar Perunding Urologi dari Pusat Perubatan Shah Alam (SAMC).
  • Dr Hamid Ghazali, Pakar Perunding Urologi dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan.
  • Dr Zairul Nizam Zainol Fithri, Pakar Perunding Ortopedik dari Hospital Pakar Senawang.
  • Dr Mohamed Ashraf Mohamed Daud, Pakar Perunding Urologi dari Hospital KPJ Perdana di Kota Bharu.

Misi perubatan kali ini akan melibatkan 6 pembedahan orthopedik, 11 pembedahan urologi dan 6 pembedahan tangan (hand-surgery) dan bakal menelan belanja sebanyak RM 500,000.00.

Perjalanan ke Gaza

Untuk ke Gaza, kami perlu terlebih dahulu ke Kaherah, Ibu Negara Republik Arab Mesir. Kali ini kami bermusafir dengan pesawat Etihad EY 411 untuk berlepas pada 9 malam, 25hb Mac 2013 ke Abu Dhabi sebelum mendarat di Kaherah.

Terasa bahawa penerbangan yang mengambil masa selama 10 jam dari KLIA itu amat panjang kerana hati kecil tidak sabar untuk melawat dan melihat perkembangan yang berlaku di Semenanjung Gaza dan sempadannya Rafah, Mesir.

Kami tiba di Kaherah pada jam 5.30 pagi waktu tempatan dan kami terus mengerjakan solat subuh secara berjamaah di lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah (Cairo).

Rombongan kami telah disambut oleh Ustaz Qamarul Naim yang merupakan wakil Aman Palestin Malaysia di Mesir bersama beberapa mahasiswa Malaysia yang sedang menuntut di Universiti al-Azhar di Kaherah.

Permusafiran diteruskan dengan sebuah bas mini ke El Arish, Bandar yang terbesar di utara Sinai, Mesir yang terletak kira-kira 214 km dari kaherah. Perjalanan ini mengambil masa selama 5 jam. Pemandangan di sepanjang perjalanan ini amat menarik kerana ia adalah suasana padang pasir yang diselangi oleh kebun-kebun tamar di perkampungan orang-orang Mesir.

Perjalanan menjadi lebih menarik apabila kami menyeberangi Terusan Suez dengan merentasi Jambatan Mubarak (projek usahasama Jepun-Mesir) yang panjang dan canggih serta mempunyai nilai yang tersendiri buat negara Mesir.

Perjalanan kami yang menarik ini diselangi oleh beberapa pusat pemeriksaan (check point) tentera Mesir di sepanjang jalan di Semenanjung Sinai ini. Mereka sememangnya diarahkan untuk memeriksa dan mengawal kawasan panas ini dengan ketat. Telah banyak rombongan misi kemanusiaan seperti kami daripada negara-negara yang lain telah ditahan dan dihantar pulang begitu sahaja.

Namun halangan-halangan seumpama ini tidak pernah mematahkan semangat untuk kami meneruskan perjalanan yang sekian lama dinanti-nantikan ini.

Ketibaan yang dinanti-nantikan

Setelah melepasi sebanyak 14 pusat pemeriksaan tentera Mesir di sepanjang jalan di Semenanjung Sinai, akhirnya kami tiba di Rafah pada jam 12 tengahari 27hb Mac 2013.

Rombongan ini terpaksa melalui pemeriksaan yang ketat oleh tentera dan imegresen Mesir selama 2 jam sebelum kami dibenarkan masuk ke wilayah Gaza.

Ketibaan rombongan kami pada jam 2 petang pada 27hb Mac 2013 ini telah disambut hangat oleh tokoh-tokoh tempatan yang diketuai oleh Dr Usamah al-Kurd, Timbalan Menteri Perkembangan Sosial Palestin, Ir Omar Seyyam, Pengurus Aman Palestin Gaza dan Dr Mohamad Salleh, Pakar Perunding Psikiatri serta beberapa orang pemimpin tempatan.

Seusai menjamu selera dengan jamuan yang disediakan, beberapa orang wartawan tempatan di Gaza bersedia untuk mengendalikan temu ramah dan sidang media  bersempena dengan misi kali ini.

Selepas itu rombongan kami telah dibawa untuk melawat beberapa orang pesakit di rumah-rumah mereka serta menziarahi beberapa keluarga miskin yang diuruskan oleh Persatuan Kebajikan As-Asalamah.

Bersama doktor-doktor Pakar di Gaza

Kami menutup program hari itu dengan mengadakan sesi perbincangan kes-kes pesakit yang akan menjalani pembedahan yang bakal dikendalikan oleh pakar-pakar bedah I-Medik Malaysia  bersama pakar-pakar bedah tempatan daripada Gaza, Palestin.

Seramai 3 orang pakar bedah tempatan telah terlibat secara langsung untuk memudah-carakan Misi Perubatan Aman Palestin dan I-Medik kali ini iaitu Dr Faez Fawaz Zedan, Pakar Perunding Urologi, Dr Mohammad Ali Rantisi, Pakar Perunding Trauma dan Pembedahan Tangan serta Dr Samy Hassan al-Karshally, Pakar Perunding Ortopedik.

Mereka menyusun jadual pembedahan dengan begitu teliti agar tenaga kepakaran kami dimanfaatkan sepenuhnya dengan melakukan pembedahan di 5 buah hospital utama di Gaza iaitu Hospital al-Quds, Hospital Asdiqaa al-Mareed, Hospital al-Awda, Hospital Syuhadatul Aqsa dan Hospital as-Syifa’.

Hari ke 3 hingga ke 9

Aktiviti utama kami sepanjang hari ke-3 sehingga hari ke-9 adalah dengan melakukan pelbagai jenis pembedahan di hospital-hospital terpilih di sepanjang hari.

Pada asalnya kami dijadualkan untuk menyempurnakan sebanyak 21 pembedahan terpilih tetapi keberkesanan perjalanan misi kali ini telah membolehkan kami melakukan sebanyak 28 kes pembedahan Ortopedik, kecederaan saraf dan kes urologi di hospital-hospital ini.

Pasukan kami merasa begitu terharu sekali kerana berpeluang melihat pesakit, waris mereka, doktor dan anggota paramedik di Gaza yang tersenyum kepuasan dengan hasil pembedahan yang dijalankan. Di antara kenangan yang tidak dapat kami lupakan adalah apabila melihat semangat doktor-doktor Gaza yang berkobar-kobar untuk memberi rawatan yang terbaik kepada masayarakat mereka.

Kekurangan dalam aspek peralatan dan teknologi tidak merencatkan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memerlukannya, malah menjadikan mereka lebih kreatif dan inovatif.

Rombongan kami juga telah membuat beberapa kunjungan ke jabatan-jabatan dan unit-unit tertentu di hospital-hospital ini bagi menilai keperluan sumbangan jangka masa pendek dan jangka masa penjang yang boleh diberikan oleh rakyat Malaysia melalui Aman Palestin dan I-Medik.

Di sebelah malamnya, pakar-pakar bedah I-Medik telah diundang untuk memberikan pembentangan mengenai perkembangan terkini perubatan dan rawatan di bidang ortopedik atau urologi dalam sesi Continuous Medical Education (CME). Tiga tajuk klinikal telah dibentangkan dan mendapat sambutan baik dengan kehadiran ramai pakar-pakar di kalangan doktor tempatan dan telah diikuti dengan perbincangan dan soal-jawab.

Sebagai Ketua Misi dengan latar belakang sebagai ahli akademik, saya sendiri telah diundang untuk mengendalikan beberapa kuliah di Fakulti Perubatan di Islamic University, Gaza dan dijemput untuk membuat kunjungan rasmi ke pusat-pusat perubatan di sana.

 Hari ke 10 hingga ke11

Peluang diambil pada 2 hari terakhir di Gaza dengan melakukan perbincangan post mortem dan membuat laporan bertulis. Sebarang cadangan penambahbaikan telah dicatatkan bagi kegunaan untuk misi akan datang yang akan dijalankan bersama oleh Aman Palestin dan I-Medik Malaysia.

Di antara cabaran yang dihadapi untuk misi kali ini termasuklah kekurangan peralatan perubatan dan pembedahan yang terkini, kekurangan alat-ganti pembedahan yang asasi yang diperlukan untuk kegunaan harian, kekurangan bekalan elektrik yang telah mengganggu sesi pembedahan serta kekurangan bahan asasi perubatan seperti ubat-ubatan dan bekalan air yang bersih.

Kami juga telah melawat ke beberapa buah kawasan dan bangunan-bangunan yang musnah atau rosak setelah diserang oleh rejim tentera Israel dalam serangan-serangan sebelum ini serta melihat projek-projek kebajikan, kesihatan, pendidikan, pertanian dan sebagainya yang telah ditaja oleh Aman Palestin Malaysia.

Bersama Ismail Haneyya, Perdana Menteri Palestin di Gaza

Bersama Ismail Haneyya, Perdana Menteri Palestin di Gaza

Peluang ke Gaza dimanfaatkan dengan mengunjungi beberapa tokoh masyarakat di Gaza termasuklah Ismail Haniyya, Perdana Menteri dan Dr Mofeed, Menteri Kesihatan Palestin.

Pasukan sukarelawan ini berangkat pulang ke Tanah Air setelah berjaya menyempurnakan misinya. Ia adalah satu misi yang pendek tetapi sarat dengan pelbagai pengalaman samada yang manis mahu pun yang sedih untuk dibawa pulang ke Malaysia. Dengan rasa berat hati, para sukarelawan berangkat dengan semangat untuk kembali ke bumi barokah ini bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai di masa depan.

Kesimpulan

Berkongsikan pengalaman di Gaza bersama rakyat Malaysia

Misi Perubatan AP dan I-Medik Malaysia ini telah berjaya mencapai objektifnya, malahan telah melebihi sasaran awalnya. Pasukan ini telah melakukan sebanyak 28 kes pembedahan meski pun sasaran awal hanya sebanyak 21 kes.

Para pakar bedah bersetuju betapa perlu ada penambahbaikan kemudahan dari segi peralatan perubatan dan infrastruktur di semua hospital yang terlibat. Misi yang murni tetapi mencabar ini mesti diteruskan di masa akan datang. Persiapan yang rapi di sudut logistic dan tenaga kepakaran harus menjadi keutamaan dalam penambahbaikan.

Misi Perubatan Aman Palestin ke Gaza di Berita Harian

Aman Palestin dan I-Medik Malaysia telah menyediakan bank-data senarai sukarelawan perubatan dan kesihatan yang bersedia untuk meneruskan misi-misi yang akan datang. Sesi perkongsian dan penerangan kepada para sukarelawan yang bakal ke Gaza di masa depan akan memastikan persiapan yang terbaik dengan harapan untuk menghasilkan natijah yang terbaik.

Penghargaan

  • Syabas dan tahniah ditujukan kepada para pakar bedah yang telah berkorban untuk bersama ke Gaza. Mereka yang turut serta dalam rombongan tersebut ialah Dr. Md. Mahir Abdullah dari Pusat Perubatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Selangor (SMC) di Shah Alam, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dari Hospital KPJ Perdana di Kota Bharu, Kelantan, dan Dr. Zairul Nizam dari Hospital Pakar Senawang, Negeri Sembilan.
  • Tahniah juga diucapkan kepada para wartawan yang telah bersama para sukarelawan perubatan di dalam misi yang mencabar ini.
  • Juga penghargaan khas kepada semua rakyat Malaysia terutamanya di kalangan penderma dan penyumbang sehingga misi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin,

Perunding Aman Palestin, merangkap Presiden I-Medik Malaysia.

Mac 2013

 

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close