Kekeluargaan

Wakaf diri buat 3 wanita

Saya mulai mengenali Saudara Khusran Othman di Seremban sejak lebih 20 tahun yang lalu.

Hubungan kami terputus kerana saya berpindah ke UK selama 2 tahun untuk meneruskan latihan kepakaran.

Beliau dikhabarkan pulang ke kampungnya di Perlis setelah diberhentikan kerja (kerap ambil cuti) untuk menjaga isterinya yang sakit.

Melalui khidmat seorang sahabat lama dan penduduk kampung, kami akhirnya berjaya menjejaki beliau.

Sejak berbelas tahun yang lalu, beliau berkhidmat sepenuh masa untuk menjaga isterinya yang lumpuh, ibu mertuanya yang mengidap kanser rahim tahap 4 dan ibunya sendiri yang semakin uzur.

Beliau membahagikan siangnya kepada 2 iaitu berkhidmat kepada ibunya di sebuah kampung di Jejawi dan isteri dan Ibu mertuanya pada separuh yang lain.

Di sebelah malamnya beliau akan menjaga isteri dan Ibu mertuanya di awal malam dan akan Ke kampung bersebelahan setiap jam 3 pagi untuk memberikan khidmat bakti kepada ibunya pula.

Beliau akan memasak dan mengemas di dua-dua buah rumah ini yang jelas kelihatan kemas dan tersusun.

Ibu, Isteri dan Ibu mertuanya pun akan disiapkan apa yang perlu, sejak belasan tahun. Beliau kekal tekun dan tenang menunaikan tugasan ini buat sekian lamanya.

Hati saya sebak, tanpa disedari titisan air mata hangat mengalir melihatkan pengorbanan sahabat lama ini.

Apabila ditanya apakah rahsia untuk dia memiliki kekuatan ini, beliau menjawab bahawa dirinya telah dipilih Allah untuk memilih khidmat ini sebagai jalannya ke Syurga Allah swt.

Allah Allah…

Saudara Khusran mungkin tidak dikenali oleh orang ramai tetapi saya meyakini bahawa beliau terkenal di kalangan penghuni langit.

Jejawi, PERLIS

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button