Rose atau Rosli ?

Rose atau Rosli ?
Pada suatu petang ketika bertugas sebagai doktor pakar atas panggilan (on-call), saya diminta untuk mengendalikan satu kes yang dianggap sebagai diluar kebiasaan.
Rose (35) telah diiringi oleh Polis dan Pegawai Pencegah Maksiat atas kesalahan berkhalwat dengan seorang lelaki yang bukan mahram di apartment kediamannya di sebuah ibu negeri.
Ketika disoalsiasat, Rose menunjukkan kad pengenalan yang membuktikan bahawa dia adalah seorang lelaki yang bernama Rosli (bukan nama sebenar).
Sebagai seorang doktor pakar, saya telah diminta untuk membuat penyiasatan terhadap status jantina ‘Rose’.
Saya bertafakkur beberapa saat sebelum berbual panjang dengannya untuk mengetahui sejarah yang berlaku.
Di atas tanggung-jawab yang diamanahkan, saya menjalankan pemeriksaan fizikal Rose secara penuh.
Penemuan ini tidaklah mengejutkan kepada saya yang telah bertugas di bidang ini buat satu tempoh yang agak lama.
Rose @ Rosli mengaku bahawa dia telah menjalani pembedahan pertukaran jantina di Holland dengan kos sebanyak RM 18,000 + selain daripada kos hormon bagi mengekalkan bentuk badan dan suaranya sebagai ‘Rose’.
Menurut beliau, kos pembedahan ini cuma RM 6000 andai dibuat di Thailand.
Beliau turut menyatakan bahawa sebahagian daripada ‘client’nya tidak mengetahui bahawa beliau asalnya adalah ‘Rosli’.
Saya jelaskan situasi tersebut kepada Pegawai Polis dan Pegawai Pencegah Maksiat yang mengendalikan kes ini. Mereka berdua mengerutkan kepala kerana terpaksa mengendalikan kes yang agak kompleks dan mencabar ini.
Adakah kes sebegini dianggap sebagai satu kesalahan atau ia boleh diterima sebagai isu peribadi ?
Tiada siapa yang memiliki statistik yang sebenar mengenai transgender dan yang terlibat dengan industri ini. Bagaimanakah kes-kes sebegini boleh dicegah daripada awal lagi ?
Sebagai warga prihatin, saya ingin berpesan supaya para ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak dengan sebaiknya.
Begitu juga kepada para isteri di luar sana agar sentiasa berpesan dengan kebaikan dan mendoakan kebaikan buat para suami serta menghidu sesuatu yang tidak kena dengan lebih awal.
Ya kepada para suami, bertaqwalah kepada Allah dan anda akan dipertanggung-jawabkan.
Zainur Rashid Zainuddin