KekeluargaanSantai

Kurniaan dari langit.

Penantian yang dinantikan selama 18 tahun

Alhamdulillah, saya dapat menyempurnakan rondaan wad lebih awal daripada kebiasaan. Tidak banyak kes yang ‘complicated’ berbanding dengan hari-hari yang lain.

Sebelum menyempurnakan tugasan pagi, saya mendekati Puan N sekali lagi bagi memenuhi hajatnya yang disimpan sejak beberapa hari.

Beliau berhasrat agar saya mengazan dan iqamahkan bayinya, melakukan tahneek serta memberikan nama buat cahayamatanya.

Saya raikan permintaannya tetapi menyerahkan kembali pemberian nama bayi ini kepada mereka berdua yang telah menantikan kehadirannya sejak sekian lama.

Puan N yang berumur pertengahan 40’an sebenarnya terlalu gembira dengan pemberian Ilahi yang datang tanpa diduga. Apa tidaknya, setelah 18 tahun menanti dan juga menjalani rawatan kesuburan lebih 10 tahun yang lalu tanpa sebarang tanda yang positif.

Dihujung pertemuan pagi tadi, beliau jelas sebak dan bersyukur kegembiraan. Didoakan agar bayi ini menjadi penyejuk mata ayah bonda dan harapan umat di masa depan.

Seusai solat asar di masjid tadi saya ditegur oleh suaminya yang merupakan jamaah masjid yang selalu berada di saf hadapan di sepanjang saya mengenali beliau dari jauh.

Beliau juga menyatakan ungkapan penghargaan dan sebak terharu dengan pemberian dari langit yang tidak pernah diduga dengan penantian selama 18 tahun ini.

Saya kongsikan juga kepada beliau bahawa saya sendiri merasa sangat kerdil dengan kejutan ini dan hanya darinya segala ketetapan yang pasti.

Subhanallah, alhamdulillah, allah akbar.

t.me/zainurrashid ]
Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Check Also
Close
Back to top button