Cabaran Membesarkan Anak Syurga
Ditakdir Ilahi, saya dipertemukan dengan seorang ibu yang merupakan salah seorang pesakit saya yang telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selama hampir 2 bulan.
Namun, kehamilannya berakhir dengan kematian anaknya yang dilahirkan pra-matang 27 minggu.
Bukan itu sahaja, dalam perbualan harian itulah saya dapati bahawa beliau mempunyai 2 orang lagi anak ahli syurga yang bernama Arsyad Riffat (6 tahun) dan Adam Yusuf (18 bulan). Walaupun Arsyad sudah berusia enam tahun manakala Adam, adik berusia 18 bulan, namun pergerakan fizikal mereka masih seperti bayi berusia dua bulan.
Anak-anak ini disahkan menghidap sindrom ‘MCT8-Specific Thyroid Hormone Cell Transporter Deficiency’ (THCT Deficiency) sejak lahir yang menyebabkan kecacatan otak, ketidakupayaan bertutur dan keupayaan otot yang lemah.
Mereka tidak boleh berkomunikasi, tidak boleh berdiri atau bergerak dan hanya terlantar sahaja. Mereka hanya menangis sebagai isyarat tidak selesa, lapar atau dahaga. Mereka juga kerap dimasukkan ke hospital atas pelbagai sebab penyakit. Menurut data yang dikeluarkan oleh KKM, hanya 8 orang sahaja yang diketahui dari seluruh negara yang menghidap penyakit yang unik ini.

Pasangan ini membelanjakan tidak kurang daripada RM2,000 sebulan untuk membeli susu khas dan juga lampin pakai buang. Selain daripada sumbangan Baitul Mal dan JKM untuk belanja tersebut, Yayasan Ikhlas telah berkunjung ke rumah pasangan yang tabah ini di Rembau untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk kerusi roda khas (RM 5,000), katil hospital (RM 3,000) dan wang tunai berjumlah RM 1,000 bagi meringankan bebanan yang dihadapi mereka.
Ia bukanlah sumbangan yang besar tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan yang dihadapi oleh pasangan yang tabah ini.
Peduli, Prihatin
Yayasan Ikhlas
Maybank : 5628 3463 6228
Rujuk : BPS (Bantu Pesakit Sihat)