Isu Semasa

Henti pertikai posisi menteri, fokus kerja demi rakyat

Kerajaan PN hanya separuh penggal sebelum rakyat diberi mandat

BANGI, 19 Rejab 1441H, Sabtu – Semua pemimpin politik terutamanya di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) digesa supaya memberikan fokus untuk bekerja daripada meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pembahagian posisi menteri Kabinet.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, Kabinet baharu di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja dibentuk, bahkan belum pun berusia seminggu.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu ketidakpuasan hati dengan pembahagian posisi menteri tidak boleh dibendung lagi terutamanya dalam kalangan UMNO, sehingga ia diluahkan secara terbuka di media sosial.

“Kerajaan pimpinan PH baru sahaja bertukar tangan kepada PN. Rakyat dan negara dilanda kerungsingan akibat ketidakstabilan politik, kenaikan kos sara hidup, wabak coronavirus dan pelbagai masalah yang melata.

“Saya menyeru agar semua pemimpin politik terutamanya dalam gabungan PN agar memberikan fokus untuk bekerja dan bekerja untuk agama, bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertikan pelantikan jemaah Kabinet baharu kerajaan, yang disifatkan sebagai tidak adil.

Pertikaian itu timbul apabila mereka merasakan pelantikan jemaah menteri tidak berpihak kepada UMNO selaku blok Ahli Parlimen terbesar, dan sepatutnya layak mendapat banyak jawatan menteri kanan serta memegang kementerian penting.

Meminta semua pihak menghentikan polemik itu, Dr Zainur Rashid berkata, negara kini dalam situasi getir dan fasa yang diberikan kepada PN juga hanyalah sekadar separuh penggal sebelum rakyat sekali lagi akan diberikan mandat untuk membuat keputusan yang baharu.

“Apatah lagi dengan kehadiran 7.8 juta pengundi baharu dalam kalangan generasi muda.

“Adakah anda mahu DAP kembali ke posisi strategik Kabinet dan mendominasi politik tanah air. Di manakah letaknya agenda agama, bangsa dan negara?,” soalnya.

Show More

Zainur Rashid Zainuddin

Professor of Obstetrics & Gynaecology School of Medicine International Medical University Seremban, Malaysia Consultant Obstetrician & Gynaecologist Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan Malaysia
Back to top button
Close
Close