Bila tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu mabuk?

Taiwan kenakan hukuman mati kepada pesalah menyebabkan kematian

BANGI, 17 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Naib Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Zainur Rashid Zainuddin menzahirkan rasa kesal dengan isu kemalangan maut yang tidak berkesudahan akibat kecuaian pemandu mabuk.

“Lagi jenayah pemandu mabuk. Yusuf Hussin meninggal dunia dan rakannya Radjuddin Jamaluddin cedera parah dilanggar kenderaan yang dibawa oleh pemandu mabuk.

“Taiwan mengenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian di negara mereka.

“Sampai bilakah tindakan yang tegas terhadap pemandu mabuk akan dikenakan oleh pihak berkuasa Kerajaan Malaysia?,” soal beliau menerusi akaun Facebook.

Prof Zainur berkata demikian merujuk kepada kes kelmarin yang mana seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera selepas dirempuh pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, mangsa Yusuf Hussin tercampak ke dalam semak dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah manakala rakannya Radjuddin Jamaluddin cedera.

Isu pemandu mabuk masih belum mendapat perhatian Kabinet, terdahulu, seorang pegawai bank maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai dilanggar pemandu dalam keadaan mabuk.

Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan Seksyen 41 Akta 333 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

 

Pautan : https://www.ismaweb.net/2020/02/11/bila-tindakan-tegas-akan-diambil-terhadap-pemandu-mabuk/